Selasa, 24 Oktober 2017 | 10:45pm

Mazda CX-5 SUV era baharu

SELEPAS beberapa ketika peminat kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda menantikan kemunculan model berwajah baharu CX-5, akhirnya Bermaz Motor Sdn Bhd, pengedar eksklusif jenama Mazda di Malaysia memperkenalkan model itu untuk pasaran Malaysia.

Mazda CX-5 pemasangan tempatan (CKD) di kilang milik Inokom di Kulim, Kedah itu didatangkan dengan tiga varian iaitu SKYACTIV-G 2.0L, SKYACTIV 2.5L dan SKYACTIV-D 2.2L yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans masing-masing dari RM134,205.50, RM160,596.70 dan RM164,179.10.

Ia ditawarkan dengan lapan pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Machine Grey, Snow Flake Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Meteor Grey, Jet Black dan Arctic White.


PELBAGAI penambahbaikan terkini jadikan rekaan luaran lebih menarik. - Foto Eizairi Shamsudin

Wajah baharu

Mazda CX-5 baharu antara lain menerima penambahbaikan terkini, termasuk menerima gril gaya honeycomb dan sisi krom yang direka semula, lampu depan lebih tirus dan lampu belakang baharu yang direka dengan dua barisan bagi bahagian luaran.

"Bahagian dalaman pula, model itu ditawarkan dengan papan pemuka simetrik, konsol kawalan bertingkat, skrin sesentuh berwarna penuh 7-inci yang dihubungkan dengan MZD CONNECT Infortainmen," kata Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Motor, Datuk Seri Ben Yeoh.

Rangkaian SKYACTIV-DRIVE

Semua varian CX-5 menggunakan enjin DOHC 16 injap empat silinder dan rangkaian SKYACTIV-DRIVE enam kelajuan automatik dengan mod Manual Shift.

Bagi varian SKYACTIV-G 2.0L yang didatangkan dengan dua pilihan iaitu 2.0L GL dan 2.0L GLS, mampu menghambur 162 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm dan tork puncak 210Nm pada 4,000 rpm.

Varian SKYACTIV-G 2.5L pula tampil dengan satu pilihan saja, iaitu 2.5L GLS 2WD yang menggunakan enjin sama, cuma berbeza kapasiti.

Jentera varian ini menghambur 192 hp pada 6,000 rpm dan tork puncak 257Nm pada 3,250 rpm.


SEMUA varian CX-5 menggunakan enjin DOHC 16 injap empat silinder. - Foto Eizairi Shamsudin

Naik taraf tempoh jaminan

Varian ketiga iaitu SKYACTIV-D 2.2L pula ditawarkan dengan dua pilihan iaitu 2.2L GLS 2WD dan AWD yang menawarkan 173ho pada 4,500 rpm dan tork puncak 420Nm pada 2,000 rpm.

Bermaz Motor juga menaik taraf tempoh jaminan pengilang kepada lima tahun di mana kenderaan yang didaftarkan dari 1 Februari 2017 akan menikmati jaminan pengilang lima tahun atau 100,000 kilometer (km) dan tiga tahun atau 60,000km bagi penyelenggaraan percuma.

Jaminan berkenaan tertakluk kepada semua model kecuali model pikap, Mazda BT-50.

Info:
Harga atas jalan tanpa insurans Mazda CX-5 baharu

  • SKYACTIV-G 2.0L - RM134,205.50
  • SKYACTIV 2.5L - RM160,596.70
  • SKYACTIV-D 2.2L - RM164,179.10
411 dibaca
Berita Harian X