Isnin, 18 September 2017 | 3:30pm
KIA Grand Carnival menampilkan rekaan segar dan menarik. - Foto Rosela Ismail

MPV selesa untuk keluarga

KIA Grand Carnival, model pengganti kepada Naza Ria untuk pasaran Malaysia sememangnya amat sesuai untuk keluarga besar.

Sebagai sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Grand Carnival menawarkan lapan tempat duduk yang mana sesuai digunakan seisi keluarga terutama untuk pulang ke kampung halaman.

Secara keseluruhannya, Naza Kia Malaysia menawarkan tiga varian untuk Grand Carnival iaitu bermula dengan 2.2 D yang berharga RM153,888, diikuti 2.2 KX RM165,888 dan 2.2 EX pula RM185,888.

Tidak hanya mampu memuatkan ramai penumpang, penggunaan enjin diesel juga amat praktikal sebagai sebuah MPV di mana ia sudah pasti memberi penjimatan dari segi bahan api untuk perjalanan jauh.

Sebagai sebuah model baru, MPV ini kelihatan segar dan moden di mana rekaannya tidaklah membosankan dan cukup serta pastinya ia boleh diterima oleh semua pihak.

Di bahagian hadapan terdapat lampu projektor halogen, bersama lampu siang dan lampu kabus manakala di belakang pula terdapat lampu gabungan LED dan 'light guide'.


DILENGKAPI transmisi 6-kelajuan automatik. - Foto Rosela Ismail


KIA Grand Carnival. - Foto Rosela Ismail

Jentera selesa

Sesi pandu uji yang diberikan NAZA Kia Malaysia baru-baru ini, memberi peluang kepada penulis berkongsi pengalaman mengenai jentera MPV terkini yang ditawarkan Kia di Malaysia.

Unit ditawarkan untuk sesi pandu uji selama hampir seminggu adalah varian 2.2 EX yang dilengkapi enjin unit 2.2 liter CRDi VGT turbodiesel empat silinder, dengan kuasa sehingga 193 PS pada 3,800 rpm dan tork 440 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm, bersama padanan kotak gear automatik enam-kelajuan.

Berdasarkan pengamatan mata kasar, binaan badannya tidak hanya tegap, malah apabila berada di tempat duduk, ia cukup selesa.

Kabin dibangunkan dengan kemas menggunakan bahan yang berkualiti manakala apabila duduk di kerusi pemandu, penulis boleh merasakan keselesaan kerana tempat duduk yang agak besar selain perehat tangan tengah yang besar.

Penumpang belakang juga menikmati keselesaan sama ditambah pula dengan corong pendingin hawa serta pengawalnya yang tersendiri untuk tempat duduk belakang.


GRAND Carnival tawar ruang luas. - Foto Rosela Ismail

Ruang penyimpanan besar

Dari segi ruang tempat simpanan barang, penulis pasti Grand Carnival amat 'cukup sifat' kerana jika semua tempat duduk ditegakkan ia menawarkan 960 liter.

Jika memerlukan lebih lagi ruang simpanan, anda boleh melipatkan tempat duduk baris ketiga seterusnya memperoleh ruang lebih besar iaitu 2,220 liter.

Lebih menarik apabila kerusi baris kedua juga boleh dilipat, namun ia menjadi menjadi tegak dan rapat ke tempat duduk hadapan ia menawarkan ruang keseluruhan 4,022 liter ruang simpanan.

Dari segi tempat duduk, tidak hanya pemandu saja menikmati keselesaan, malah ruang di tempat duduk baris ketiga juga mencukupi bukan saja untuk kanak-kanak, malah juga dewasa tanpa sebarang masalah.

Di bahagian depan, selain ruang simpanan di tepi pintu dan papan pemuka, terdapat ruang yang besar di bawah perehat tangan di konsol tengah yang cukup dalam.

Apa yang menarik tentang jentera enjin diesel ini adalah kedapan bunyinya. Ketika berada di dalam kabin, anda tidak akan mendengar begitu jelas bunyi yang biasanya terhasil oleh enjin diesel dan ia cukup.


ENJIN yang berkuasa dan menjimatkan. - Foto Rosela Ismail


RUANG dalaman yang luas dan selesa. - Foto Rosela Ismail

Keselamatan terbaik

Menyentuh aspek keselamatan, Grand Carnival dilengkapi dengan enam beg udara, pengesan jarak di bahagian depan dan belakang, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, Isofix (dua unit pada tempat duduk barisan kedua, satu unit di barisan ketiga), Bantuan Mula Mendaki (HAC) dan pintu yang boleh terkunci sendiri mengikut kelajuan.

Bagi pemandu pula, kemudahan lain yang ada pada kenderaan ini adalah termasuk cruise control, sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin, skrin sesentuh 4.3 inci TFT dengan paparan kamera undur di tengah papan pemuka dan fungsi mod Eco.

Dari segi pemanduan, Grand Carnival amat menyenangkan dan penulis dapat merasakan ia kekal stabil ketika melalui Lebuh raya Karak yang banyak selekoh.

Walaupun menempuh perjalanan lebih empat jam, penulis kekal fokus dan pada kelajuan sekitar 160 kilometer sejam (km/j) ia kekal stabil.

Cuma apa yang diharapkan adalah beberapa fungsi lain dapat disesuaikan untuk semua varian termasuk skrin sesentuh untuk papan pemuka dan skrin untuk penumpang belakang bagi mengetengahkan sedikit hiburan untuk menemani perjalanan jauh.


REKAAN dalaman menggunakan kombinasi dua tona menyerlahkan gaya mewah MPV ini. - Foto Rosela Ismail

Info:
Kia Grand Carnival 2.2D EX

  • Harga jualan termasuk GST RM179,718.79
  • Enjin R 2.2 CRDi VGT Turbo
  • Transmisi 6-kelajuan automatik
  • 193 PS @ 3,800rpm, Tork 440 Nm @ 1,750 hingga 2,750rpm
  • Kapasiti tangki 80 liter
  • 8 tempat duduk
1458 dibaca
Berita Harian X