Ahad, 3 September 2017 | 4:54pm

Vios Sports Edition mengancam


TEMPAHAN model sedan Toyota edisi terhad dibuka.

JIKA anda peminat tegar Toyota khususnya perlumbaan Vios Challenge sempena Toyota Gazoo Racing Festival (TGR), mungkin ini masa terbaik untuk memiliki varian Vios versi perlumbaan ini.

Model istimewa yang sudah dipamerkan di bilik pameran Toyota ini hanya ditawarkan dengan satu varian dan dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insuran RM85,300.

Diperkenalkan sebagai Vios Sports Edition, model ini dibina mengambil inspirasi daripada jentera lumba yang menyertai siri perlumbaan berkenaan.

Diasaskan dari model Vios 1.5J, ia diberikan kit badan yang terdiri dari spoiler hadapan, skirt sisi, lips belakang dan spoiler belakang yang lebih besar dari versi standard.

Ia juga menerima pelekat badan dengan jalur merah-hitam, sempena tema warna jentera perlumbaan sebenar Vios Challenge.

Bagi melengkapkan rupa luarannya, rim 15 inci pelbagai jejari yang diambil dari varian 1.5G dipadankan tetapi diberikan kemasan berwarna hitam.


VIOS Sports Edition dibina mengambil inspirasi daripada jentera lumba yang menyertai siri Vios Challenge.

Talaan lebih sporty

Ia juga diberikan suspensi boleh laras tinggi-rendah, yang bukan saja menjadikan ia lebih anggun malah turut membantu mendapatkan pengendalian lebih baik.

Menjengah ke bahagian kabin, model Sport Edition ini menerima tempat duduk lebih sporty dan juga aksesori istimewa lain termasuk karpet kaki, tombol gear dan juga scuff plate bernyala.

Lampu kaki pada dinding hadapan yang berwarna biru untuk Vios standard ditukar ke warna merah untuk versi istimewa ini.

Bagaimanapun, varian edisi terhad ini tidak menerima sebarang peningkatan pada enjin dan ia masih dijana enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i empat silinder yang mampu menghasilkan kuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum 140 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Beberapa ciri lain yang ada pada model standard masih dikekalkan pada varian ini termasuk lampu hadapan reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pemain CD/radio dengan Bluetooth, empat pembesar suara, dua beg udara dan kawalan kestabilan.


VIOS Sports Edition.

Info:
Vios Sports Edition

  • Diperkenalkan sempena Vios Challenge
  • Harga atas jalan tidak termasuk insuran RM85,300
  • Spoiler hadapan, skirt sisi, lips belakang dan spoiler belakang lebih besar
  • Enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i 4-silinder
  • Kuasa 107 PS @ 6,000 rpm dan tork 140 Nm @ 4,000 rpm
  • Transmisi CVT
  • 860 dibaca
    Berita Harian X