Jumaat, 11 Ogos 2017 | 6:34pm

Volkswagen perkenal dua model edisi khas baharu

SHAH ALAM: Volkswagen Passenger Cars Malaysia (Volkswagen) memperkenalkan dua model edisi khas baharu iaitu Jetta ALLSTAR dan Beetle Edisi Khas Merdeka ke-60 pada pelancaran acara Volkswagen Fest 2017.

Jetta ALLSTAR adalah edisi terkini ALLSTAR yang dilancarkan Volkswagen selepas Polo ALLSTAR yang diperkenalkan pada awal tahun ini.Ia ditawarkan pada harga bermula RM109,990 tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans.

Model itu didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu putih, kelabu, perak dan hitam.Bagi model Beetle Edisi Merdeka ke-60 pula, ia didatangkan dalam bilangan yang terhad iaitu 16 unit saja.

Ditawarkan pada harga RM136,888 tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans, model Merdeka Beetle itu dilengkapi dengan jaminan selama lima tahun, cukai jalan untuk 60 bulan dan beg Beetle edisi terhad.

Pengarah Urusan Volkswagen, Erik Winter berkata pelancaran kedua-dua model edisi khas itu dibuat bagi memenuhi kehendak pelanggan yang mahu tampil lebih menonjol berbanding orang lain.

"Orang ramai harus merasai sendiri pengalaman memandu kereta Volkswagen dan sepanjang acara Volkswagen Fest 2017 ini berlangsung, pengunjung berpeluang memandu uji pelbagai model kereta kami serta mendapat tawaran hebat daripada promosi yang disediakan," katanya pada majlis pelancaran model baharu itu di sini, hari ini.

Acara berkenaan yang bermula dari 11 hingga 13 Ogos itu juga turut diserikan dengan pelbagai aktiviti lain seperti persembahan artis tempatan dan badut untuk kanak-kanak, sesi yoga dan zumba serta hiasan kuku buat golongan wanita.

Bagi pemilik Volkswagen pula, mereka boleh menjalankan pemeriksaan 20 bahagian kenderaan secara percuma serta diskaun 15 peratus ke atas alat ganti dan kos buruh.

Berita Harian X