Rabu, 26 September 2018 | 3:58pm
SITI memotong buah-buahan sambil diperhatikan Nor Raffi di medan selera tempatnya bekerja di Putrajaya. - NSTP / Mohd Yusni Ariffin

MENTARI bantu peluang pesakit mental jalani kehidupan, bekerja

PUTRAJAYA: Menghidap penyakit mental tidak semestinya menjanjikan masa depan gelap dan hidup berakhir, kerana hakikatnya masih ada peluang untuk pesakit menjalani kehidupan yang normal semula.

Sokongan keluarga, rawatan lebih teratur dan latihan kemahiran mampu memberikan sinar kepada pesakit untuk hidup berdikari, malah bekerja bagi menyara diri sendiri.

Peluang itu disediakan Pusat Mental dan Psikiatri (MENTARI) diperkenalkan Kementerian Kesihatan menerusi jabatan mental dan psikiatri hospital awam sejak 2011 bagi menyediakan latihan serta sokongan pekerjaan kepada pesakit mental.

Mengikut rekod MENTARI, seramai 377, 238 daripada orang kurang upaya (OKU) kategori mental menjalani program sokongan pekerjaan di 12 pusat MENTARI seluruh negara setakat 2017.

Pakar Psikiatri di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Putrajaya, Dr Uma Visvalingam, berkata setakat ini sekurang-kurangnya tujuh pesakit berjaya diserap melalui program MENTARI Putrajaya.

Beliau berkata, mereka diterima bekerja di restoran termasuk restoran makanan segera, pasar raya dan hotel sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

“Penyakit seperti skizofrenia dan bipolar boleh menjejaskan fungsi penghidap, perlu dirawat sebaik-baiknya serta pesakit dilatih sebelum melangkah ke alam pekerjaan dengan lebih kompetitif dan mampan.

“Tanpa sokongan pekerjaan seperti disediakan MENTARI, mereka sukar untuk kekal lama dalam pekerjaan kerana majikan dan rakan sekerja tidak memahami apa yang mereka lalui,” katanya.

Pesakit dipantau

Katanya, pesakit yang bekerja akan dipantau kakitangan unit paramedik dan jururawat yang akan melakukan lawatan satu atau dua kali seminggu, antara lain mengenal pasti sama ada mereka menghadapi masalah pekerjaan atau kesihatan.

Dr Uma berkata, pada awalnya majikan menolak menerima pesakit mental sebagai pekerja kerana bimbang jika mereka mengamuk dan menakutkan pelanggan.

Bagaimanapun, katanya selepas diberi penerangan, pesakit diterima untuk bekerja dan terbukti tidak mengecewakan majikan apabila menunjukkan komitmen tinggi dalam tugasan diberikan.

“Sebenarnya ramai majikan tidak tahu dasar pelepasan cukai satu peratus jika mereka mengupah pekerja orang kurang upaya (OKU) fizikal atau mental. Sehingga kini, tidak sampai 0.3 peratus majikan mengambil peluang itu,” katanya.

Penghidap skizofrenia yang hanya ingin dikenali Siti, 27, antara yang diserap ke dalam pasaran kerja dua tahun lalu sebagai pembantu di sebuah medan selera di Putrajaya, selepas menyertai program dan latihan diperkenalkan MENTARI.

Ketika ditemui, wajah Siti kelihatan cemas setiap kali diajukan soalan mengenai skizofrenia yang dihidapi sejak berusia 12 tahun, malah anak mata gadis ini bergerak gerak ke kiri dan kanan sebelum menjawab dengan suara perlahan seakan berbisik sehingga hampir tidak didengari.

Disiplin, tidak pernah datang lewat

Sebelum bekerja, Siti hanya tinggal di rumah selepas tidak dapat meneruskan pembelajaran di sekolah akibat skizofrenia dihadapinya yang sukar dirawat, kerana tidak serasi dengan pelbagai ubat diberikan sehingga akhirnya ubat bersesuaian diambil.

Majikannya, Nor Raffi Abdul Karim, berkata Siti seorang yang berdisiplin, tidak pernah datang lewat sebaliknya 15 minit lebih awal sebelum waktu bekerja.

“Awalnya kami perlu ingatkan dia apa yang harus dilakukan, tetapi lama kelamaan dia mula ingat selepas mencatat nota. Siti bekerja empat jam sehari dan sering balik lewat kerana perlu diingatkan masa untuk balik,” katanya.

Majikan yang ditemui mengakui pada awalnya sukar menerima pesakit mental bekerja, namun lama kelamaan stigma ke atas golongan itu terhakis apabila mereka menunjukkan prestasi kerja yang baik.

Pengurus Kanan Wesria Food Sdn Bhd, Mohd Haidar Mohd Salleh, berkata pihaknya yakin mengambil pekerja dalam kalangan pesakit mental kerana yakin mereka sudah menjalani rawatan sewajarnya dan diberi latihan pekerjaan.

“Kita beri kerja ikut kemampuan mereka, tidak letakkan terus di bahagian hadapan yang memerlukan mereka berinteraksi dengan orang ramai,” katanya.

Info

Pusat Mental dan Psikiatri (MENTARI)

* Menyediakan rawatan, intervensi psikososial (kaunseling, terapi, pendidikan)

* Saringan masalah mental, galakkan rawatan awal

* Hapuskan stigma, diskriminasi terhadap pesakit mental

* Penempatan dan Sokongan Pekerjaan Individu (IPS-SE)

* Rawatan komuniti, kumpulan sokongan untuk pesakit dan penjaga

372 dibaca
Berita Harian X