Rabu, 19 September 2018 | 3:52pm

Tunggu dana kerajaan PH: Profesional, peniaga Melayu terjejas

KUALA LUMPUR: Penangguhan projek serta pemberhentian dana oleh kerajaan sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum PRU Ke-14 (PRU-14) bukan saja menjejaskan kontraktor Bumiputera, tetapi juga profesional Melayu dan pengusaha pelbagai perniagaan.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur, Don Nazwin Don Najib, berkata kira-kira 900 ahlinya mendakwa terjejas kesan penangguhan projek dan pemberhentian dana termasuk tuntutan yang belum dibayar kerajaan.

Katanya, mereka yang terjejas mewakili 30 peratus daripada 3,000 ahli organisasi terbabit, termasuk dalam kalangan profesional seperti peguam, jurutera dan arkitek, selain dalam perniagaan pembekalan dan perkhidmatan.

“Ramai mengadu belum menerima tuntutan bayaran untuk perkhidmatan mereka sebelum PRU-14 lalu,” katanya kepada BH, semalam.

Beliau memberi contoh projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) 3 yang membabitkan sub kontraktor, arkitek, jurutera dan pembekal bahan binaan, terjejas kerana belum mendapat bayaran bagi kerja dan khidmat sebelum projek dihentikan.

Elak projek terjejas

"Kerja berkenaan dilakukan secara berperingkat dan apabila sudah siap satu-satu peringkat, bayaran mesti dijelaskan bagi mengelakkan projek terjejas. Projek itu diberikan oleh kerajaan, bukan parti politik.

"Jadi kerajaan yang perlu bayar, bukan parti politik. Sama ada kerajaan dahulu atau sekarang, ia tetap kerajaan dan apabila membabitkan kepentingan rakyat, ia seharusnya diberi perhatian," katanya.

Bagaimanapun, beliau meminta kerjasama ahlinya untuk bersabar menunggu keputusan kerajaan selepas kajian semula dilakukan yang dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Kelmarin, BH mendedahkan selepas menang PRU-14, Kerajaan PH menyelaras semula Bajet 2018 awal Ogos lalu, namun sehingga kini sebahagian peruntukan dalam bajet didakwa belum diagihkan kepada kementerian yang sepatutnya menerima dana.

Beberapa kementerian dan industri memaklumkan, selain projek tertentu digantung untuk kajian semula, status insentif pembangunan perniagaan dan bantuan yang sudah diluluskan juga belum diketahui.

400 kontraktor Bumiputra berisiko gulung tikar

Semalam, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF Malaysia), Tukiman Radion, mendakwa kira-kira 400 kontraktor Bumiputra berisiko gulung tikar disebabkan perkembangan berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, penangguhan dana itu termasuk membabitkan tuntutan RM8 juta oleh ahlinya bagi dua projek sudah siap tetapi belum dibayar kerajaan, manakala projek dibatal atau ditangguh menyebabkan kontraktor hilang mata pencarian.

Sementara itu, seorang pengusaha percetakan yang enggan namanya disiarkan, mendakwa tuntutannya sebanyak RM60,000 untuk perkhidmatan kepada sebuah agensi kerajaan sebelum PRU-14 lalu masih belum dibayar sehingga kini.

“Situasi sedemikian menjejaskan perniagaan saya sebagai usahawan kecil," katanya.

1050 dibaca
Berita Harian X