Isnin, 17 September 2018 | 2:06pm
GAMBAR fail, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada Majlis Bajet 2018 Bersama Rakyat, Belia dan Pelajar di UNIMAP, Kampus Pauh Putra pada Mac lalu. - Foto Azhar Ramli

Status dana, projek tertentu Bajet 2018 belum diketahui

KUALA LUMPUR: Selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyelaras semula Bajet 2018 awal Ogos lalu, namun sehingga kini sebahagian peruntukan dalam bajet berkenaan didakwa masih belum diagihkan kepada kementerian yang sepatutnya menerima dana.

BH difahamkan, sehingga kini Kementerian Kewangan belum membuat sebarang keputusan berkaitan pengagihan dana, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penganalisis ekonomi.

Semakan BH mengesan sekurang-kurangnya tiga kementerian berdepan isu ini apabila beberapa projek atau program sukar dipastikan statusnya berikutan peruntukan yang sepatutnya diterima, masih belum disalurkan.

Selain Kementerian Kesihatan, dua lagi adalah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

Antara peruntukan terbabit termasuk RM3 bilion bagi Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) 2.0; RM2 bilion untuk Tabung Pelancongan Perusahaan Kecil dan Sederhana; RM1 bilion kepada Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan.

Berisiko berdepan kelembapan ekonomi

Selain itu, ada beberapa projek yang disenaraikan untuk menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM27 bilion bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Beberapa penganalisis yang dihubungi BH khuatir negara berisiko berdepan kelembapan pertumbuhan ekonomi jika kerajaan terus merendahkan perbelanjaan pembangunannya.

Berdasarkan maklum balas sumber kementerian dan wakil industri, selain tindakan ‘menggantung’ beberapa projek untuk dikaji semula, terdapat juga insentif pembangunan perniagaan dan bantuan dalam Bajet 2018, masih belum diputuskan statusnya.

“Keadaan ini menyebabkan agensi pelaksana turut berdepan dilema, sama ada projek atau program dirancang dalam Bajet 2018 yang sesetengahnya sudah dilancarkan dan mendapat permintaan, sama ada diteruskan, tangguh atau dibatalkan,” kata sumber.

Bank Negara menerusi laporan Ekonomi Malaysia bagi suku kedua tahun ini, menyatakan pertumbuhan ekonomi untuk tempoh April hingga Jun lalu dicatatkan pada kadar lebih perlahan sebanyak 4.5 peratus, berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya.

Laporan itu menyebut, kelembapan pertumbuhan itu antaranya disebabkan permintaan yang lemah susulan penguncupan pelaburan awam sebanyak 9.8 peratus pada suku kedua berbanding satu peratus pada suku sebelumnya.

Sebahagian lagi punca disebabkan beberapa projek hampir disiapkan, selain kerana perbelanjaan pembangunan yang lebih rendah oleh Kerajaan Persekutuan.

BH cuba mendapatkan penjelasan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, namun Pegawai Medianya, Rahmah Ghazali memaklumkan, menteri mahu memberi tumpuan kepada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terlebih dahulu.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang penganalisis ekonomi berkata, prestasi ekonomi Malaysia bagi suku kedua yang diukur menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mendapat beberapa sokongan sebelum ini.

Ia, katanya, termasuk daripada perbelanjaan dalam kalangan pengguna yang begitu kukuh, mencecah lapan peratus sepanjang tempoh dikaji dan melebihi corak pertumbuhan pada suku sebelumnya.

Beliau berkata, ia sekali gus menimbulkan keraguan, sama ada corak perbelanjaan swasta itu dapat dikekalkan untuk tempoh yang panjang, lebih-lebih lagi dengan sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Perbelanjaan pengguna mungkin tidak boleh kekal dengan pertumbuhan lapan peratus sepanjang masa dan ia akan kembali kepada corak pertumbuhannya yang normal, iaitu sekitar 6.9 peratus.

Beri kesan kepada KDNK

“Sekiranya ini berlaku, ia sememangnya akan memberi kesan ketara kepada pertumbuhan KDNK negara pada masa akan datang, bermaksud kelembapan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih membimbangkan.

“Oleh kerana itu, kerajaan perlu berbelanja dan mewujudkan permintaan menerusi pelaburan awam,” katanya.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kerajaan memiliki peranan dalam memangkin pertumbuhan ekonomi negara, namun berdasarkan prestasi KDNK suku kedua 2018, jelas menunjukkan prestasi ekonomi Malaysia sedikit sebanyak terkesan berikutan penguncupan pelaburan awam sebanyak 9.8 peratus.

“Oleh itu, kerajaan perlu merancang strategi yang jitu supaya keperluan memperbaiki kedudukan kewangan serta melaksanakan program perbelanjaan diselaraskan dan diimbangi supaya pertumbuhan negara terus mapan.

“Kita pun sedia maklum bahawa prospek pertumbuhan ekonomi luaran juga semakin mencabar berikutan perang perdagangan dipelopori Amerika Syarikat (AS) bakal memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi global,” katanya.

642 dibaca
Berita Harian X