Isnin, 17 September 2018 | 11:46am
JUSTIN Gerard Victor.

BefriendersKL terima 70 kes aduan masalah mental sehari

KUALA LUMPUR: Kira-kira 70 kes sehari diterima sama ada melalui panggilan telefon atau e-mel oleh BefriendersKL, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengendalikan khidmat kaunseling untuk mereka yang berputus asa dan mahu membunuh diri.

Pengerusinya, Justin Gerard Victor, berkata daripada semua aduan melalui panggilan dan e-mel itu, isu berkaitan masalah mental antara paling tinggi diterima sukarelawan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh antara Januari hingga Mei tahun ini BefriendersKL menerima 11,841 panggilan dan e-mel, dengan 23.4 peratus membabitkan masalah mental serta 15.3 peratus berkaitan isu perhubungan.

“Dari segi pemanggil, 19.7 peratus ialah belia berusia antara 21 hingga 29 tahun, manakala 14.3 peratus lagi remaja berusia 15 hingga 20 tahun.

Alami tekanan hidup

“Paling ramai mereka yang menghubungi kita ialah mereka yang masih bujang dan bekerja.

“Berpandukan statistik ini, dapat kita lihat bahawa ramai generasi muda sudah mula mengalami tekanan dalam kehidupan yang didorong pelbagai masalah,” katanya kepada BH.

BH mendedahkan remaja berusia seawal 13 tahun sudah terdedah kepada perlakuan bunuh diri, sama ada cenderung atau merancang untuk berbuat demikian.

Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 mendedahkan 11.2 peratus remaja dalam kelompok itu mempunyai idea untuk membunuh diri, selain 9 peratus merancang untuk bunuh diri dan 10.1 peratus melakukan cubaan untuk bunuh diri.

Berdasarkan kajian terbabit, Wilayah Persekutuan mencatatkan peratusan paling tinggi remaja berniat membunuh diri dengan 13.2 peratus; Selangor pula tertinggi bagi remaja yang merancang membunuh diri (9.5 peratus), manakala Perak mencatatkan peratusan tertinggi cubaan bunuh diri dengan 9.3 peratus.

Victor berkata, BefriendersKL khuatir apabila jumlah panggilan dan e-mel diterima BefriendersKL meningkat saban tahun.

Sepanjang tahun lalu, katanya, mereka menerima 26,927 panggilan dan e-mel, iaitu meningkat 2,106 kes berbanding tahun sebelumnya, dengan pemanggil ialah individu berdepan tekanan hidup, termasuk mereka yang mempunyai niat untuk membunuh diri.

Sokongan emosi

“Selaku NGO yang berperanan sebagai sahabat, BefriendersKL menyediakan bantuan bukan sahaja mendengar masalah, tetapi turut memberi sokongan emosi kepada setiap individu yang menghubungi kita.

“Semua 110 sukarelawan kita yang dilatih khas dari pelbagai latar belakang bagi mengendalikan setiap panggilan, akan cuba sebaik mungkin untuk membuatkan mereka berasa lebih tenang dan tidak berputus asa kerana setiap masalah pasti ada jalan keluar.

“Apa yang penting, kita tidak mahu mereka mengambil tindakan terburu-buru seperti membunuh diri,” katanya.

Tidak dedah identiti, maklumat dirahsiakan

Beliau berkata, individu yang menghubungi BefriendersKL tidak perlu bimbang kerana identiti mereka tidak didedahkan dan semua maklumat dirahsiakan.

“Kita mahu beritahu masyarakat bahawa BefriendersKL bukan kaunselor berlesen, tetapi NGO yang bertindak sebagai sukarelawan dalam memberi sokongan emosi kepada mereka yang memerlukan melalui pendekatan ‘active listening’ atau mendengar secara aktif .

“Ini disebabkan sokongan emosi awal dapat mengelak mereka berputus asa yang jika dibiarkan berisiko untuk cenderung membunuh diri,” katanya.

Victor berkata, BefriendersKL turut aktif mengadakan bengkel dan ceramah, terutama di institusi pendidikan tinggi dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya masalah mental serta visi untuk menghalang bunuh diri.

Selain talian hotline 03-79568145 dan e-mel sam@befrienders.org.my, BefriendersKL juga sedia mendengar melalui pertemuan empat mata serta sewaktu sesi lawatan.

238 dibaca
Berita Harian X