Ahad, 16 September 2018 | 12:09pm

MEIO badan risikan sulit, lindungi keselamatan

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), antara badan risikan penting dengan misi sulit bagi melindungi keselamatan negara, dianggotai individu dari pelbagai latar belakang dan kepakaran.

Antaranya pakar dalam bidang teknologi maklumat, keselamatan dan bencana serta urusan berkaitan diplomasi atau rundingan.

Seorang individu yang pernah bertugas bersama organisasi berkenaan, berkata keanggotaan MEIO kini dianggar lebih 1,000 orang dengan tempat tugasan bukan hanya di Putrajaya, tetapi juga semua negeri dan di luar negara termasuk Eropah dan Asia Barat.

Berkongsi maklumat

“Selain berkongsi maklumat dengan agensi perisikan lain seperti Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM), MIO (perisik tentera) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN), MEIO juga diberi tugas menyempurnakan misi sulit dan mencabar asalkan ia berkait kepentingan negara.

“Selain SB, ada juga kakitangannya daripada MKN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Imigresen,” katanya namun enggan mengulas lanjut skop tugasan setiap anggota yang berada di bahagian berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebahagian besar anggota MEIO memiliki perjawatan tetap dalam perkhidmatan kerajaan dan tertakluk kepada pekeliling serta arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Mereka adalah penjawat awam dan mengangkat sumpah setia menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara. Sebahagian juga adalah pegawai kanan kerajaan yang mengetuai beberapa agensi penguatkuasaan di peringkat negeri,” katanya.

Bentuk jaringan risikan

Bekas perisik berkenaan juga menolak sama sekali persoalan anggota MEIO ada menjalankan tugas dan misi yang bertentangan dengan undang-undang atau boleh mengancam keselamatan negara.

Mengulas lanjut peranan MEIO, beliau berkata, berkongsi maklumat risikan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat contohnya menjadi sebahagian daripada penugasan organisasi berkenaan.

Ia, katanya, bertujuan membentuk jaringan risikan bersepadu seperti menangani penularan ancaman pengganas di rantau ini.

“Ada sebahagian tugasan memerlukan kerjasama agensi perisikan luar seperti CIA dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), namun ia hanya berkait kepada perkongsian maklumat risikan.

“Kerjasama dengan agensi perisikan luar itu bukan untuk membuka jalan atau membenarkan campur tangan asing di negara kita,” katanya.

Beliau beliau, peranan MEIO bolehlah disamakan dengan agensi risikan antarabangsa lain seperti perisik Russia (KGB), ejen perisik British (MI6), CIA serta Perkhidmatan Perisikan Rahsia Australia (ASIS).

MEIO mendapat perhatian rakyat susulan pendedahan mengenai sepucuk surat yang dihantar oleh bekas ketua organisasi berkenaan kepada CIA sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Organisasi itu yang berfungsi di sebalik Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), ditubuhkan sekitar 1960-an dengan matlamat awalnya adalah untuk memerangi kegiatan Parti Komunis Malaya atau ancaman komunis di Tanah Melayu.

Selain MEIO bagi Malaysia, beberapa negara lain juga mempunyai badan perisikan luarnya sendiri seperti Sayap Penyelidikan dan Analisis India (RAW) serta Perkhidmatan Perisikan Keselamatan Kanada (CSIS).

Selain itu, Direction Generale De La Securite Exterieure (DGSE) bagi Perancis; Agensi Perisikan Israel (MOSSAD); Kementerian Keselamatan Negara (MSS) China; Biro Utama Peninjauan (RGB) bagi Korea Utara serta Agensi Perisikan Pakistan (ISI).

Dalam perkembangan berkaitan, bekas perisik berkenaan berkata, misi yang pernah dijalankan MEIO, antaranya kes penculikan rakyat Malaysia di luar negara, rundingan damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Kerajaan Filipina serta isu keselamatan di selatan Thailand.

Tugas sempurnakan misi

“Misi bantuan kemanusiaan ke Bosnia, Yaman, Syiria dan insiden MH17 ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine juga diuruskan beberapa anggota dari bahagian berkenaan sebelum ini,” katanya.

Ditanya sama ada urusan menyeludup wang tunai ke dalam atau keluar negara menjadi sebahagian tugas utama mereka, beliau hanya menjawab: “Ia mungkin sebahagian tugas untuk menyempurnakan sesuatu misi”.

Mengenai struktur organisasi berkenaan, beliau berkata, ia diketuai seorang ketua pengarah dan di bawahnya terdapat beberapa unit termasuk unit politik, bencana dan keselamatan.

Bekas Ketua Pengarah MEIO sebelum ini adalah Datuk Hasanah Abdul Hamid yang ketika ini berdepan siasatan berhubung dakwaan salah guna dana pilihan raya.

Info:

Misi dikaitkan Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO)

  • Kes penculikan rakyat Malaysia di luar negara
  • Rundingan damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Kerajaan Filipina
  • Isu keselamatan di selatan Thailand
  • Misi bantuan kemanusiaan ke Bosnia, Yaman, Syiria
  • Insiden MH17 ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine
4061 dibaca
Berita Harian X