Jumaat, 12 Oktober 2018 | 12:03pm
TIMBALAN Pengarah APM negeri, Mejar (PA) Kamarulsyah Muslim (kanan) bersama pegawai serta anggotanya menjalankan pemantauan paras air serta memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika operasi dijalankan di Kampung Lubuk Kasau, Bemban, Jasin. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad

Jumlah mangsa banjir bertambah

MELAKA: Banjir di negeri ini menunjukkan peningkatan apabila dua lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan menjadikan kesemuanya tiga PPS sehingga jam 11 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata ketiga-tiga PPS berkenaan masing-masing dua di daerah Jasin iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bemban dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel manakala di Alor Gajah pula mangsa ditempatkan di Balai Raya Kampung Seri Jeram.

“Jumlah kesemua mangsa banjir adalah seramai 56 orang membabitkan 13 keluarga yang berusia antara dua bulan hingga 60-an.


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu mangsa banjir untuk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika menjalankan operasi pemantauan paras air di Kampung Lubuk Kasau, Bemban, Jasin. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad

“PPS pertama dibuka adalah di SMK Seri Bemban pada jam 10.30 malam tadi, diikuti PPS Balai Raya Kampung Seri Jeram, jam 3.20 pagi dan PPS SK Tehel jam 4.30 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan rumah yang terjejas ditenggelami air antara 0.5 hingga 1 meter dan sebagai langkah keselamatan mereka diminta untuk segera berpindah.

“Selain pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kini berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan selain turut dibantu agensi kerajaan yang lain,” katanya.

257 dibaca
Berita Harian X