Khamis, 11 Oktober 2018 | 5:04pm
TERMIZAH menjamah laksa selepas melihat anak sulungnya memakannya di kediaman mereka di Kampung Kerunai, Gerik, pagi Sabtu lalu. - NSTP/L Manimaran

Menggigil selepas makan laksa

GERIK: Seorang daripada mangsa keracunan makanan dipercayai berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Baling, Kedah, mendakwa berasa tidak sihat badan hanya selepas kira-kira 30 minit memakan laksa dibeli anaknya.

Termizah Abd Manaf, 58, berkata dia menjamah laksa berkenaan selepas melihat anak sulungnya, Aida Ashikin Azalan, 33, memakannya di kediaman mereka di Kampung Kerunai, di sini pagi Sabtu lalu.

Menurutnya, laksa berkenaan memang dibeli oleh Aida di gerai laksa yang agak terkenal itu pada Khamis lalu ketika pulang daripada menziarah saudara yang sakit di Hospital Kulim, Kedah.

“Along (Aida) ke Kedah bersama ahli keluarga yang lain serta beberapa pekerja katering kami dengan menaiki dua kereta.

“Ketika pulang Khamis lalu, Along membeli berbelas bungkus laksa berkenaan dan sebaik tiba dia singgah bermalam di rumah mentuanya serta memberikan laksa yang dibeli kepada saudara mara serta jiran di sana termasuk keluarga arwah Raseah Ali Musa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Termizah berkata, anaknya itu kemudian pulang ke rumah pada hari Jumaat dan turut membawa balik beberapa bungkus laksa lagi, namun pada hari berkenaan dia tidak mengetahui adanya makanan itu.

“Esoknya (Sabtu), saya lihat Along bersarapan laksa dan saya turut sama memakannya kerana laksa berkenaan memang kegemaran saya serta pernah memakannya sebelum ini.

“Dalam tempoh kira-kira 30 minit kemudian saya berasa tidak sihat dan terasa sejuk badan hingga menggigil serta terpaksa berselimut sebelum mengalami cirit-birit dan perkara sama dialami Along,” katanya yang menjalankan perniagaan katering sejak 30 tahun lalu.

Menurutnya, anaknya yang tidak tahan sakit lagi kemudian ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan manakala dia masih dapat bertahan dengan ubat sedia ada.

Katanya, bagaimanapun pada Ahad lalu sakit perutnya semakin teruk dan terpaksa ke klinik untuk rawatan sebelum pihak Hospital Gerik menghubunginya pada kira-kira jam 10 malam hari sama dan mengarahkan segera ke Unit Kecemasan hospital berkenaan untuk rawatan segera.

“Ketika itu juga saya dapat tahu ramai yang mengalami sakit perut termasuk pekerja katering kami selepas dipercayai memakan laksa yang dibeli anak saya dan lebih menakutkan apabila dimaklumkan terdapat dua kematian susulan kes berkenaan.

“Saya bersama anak dan beberapa yang lain bagaimanapun tidak ditahan di wad mungkin kerana keadaan kami tidak berapa serius, namun berat badan saya susut dua kilogram dan Along susut lima kilogram akibat keracunan makanan itu,” katanya.

Bagaimanapun, Termizah tidak menyalahkan peniaga laksa berkenaan kerana sebagai pengusaha katering sememangnya peniaga ingin mengelakkan kejadian sedemikian.

“Mana ada peniaga makanan yang ingin berlaku macam ini dan perkara ini tidak dijangka serta boleh dianggap sebagai dugaan kepada peniaga,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengesahkan 61 kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Baling dengan dua kematian membabitkan mangsa Raseah Ali Musa, 70, dan orang kurang upaya (OKU), Abdul Rahim Abdul Manan, 28, yang kedua-duanya berasal dari Gerik.

4327 dibaca
Berita Harian X