Khamis, 11 Oktober 2018 | 3:29pm
SERAMAI 23 mangsa kes keracunan akibat menikmati laksa kebok di Selangor.

Mangsa di Selangor makan laksa dihidang majlis kesyukuran

SHAH ALAM: Seramai 23 mangsa kes keracunan akibat menikmati laksa kebok di Selangor dipercayai makan hidangan itu dalam satu majlis kesyukuran yang diadakan pada 5 Oktober lalu.

Menurut sumber, kes di negeri ini dipercayai berlaku selepas kesemua mangsa makan laksa kebok yang dibeli tuan rumah di Baling, Kedah, sehari sebelum itu.

Katanya, laksa itu dikatakan dibawa oleh bapa mentua ‘tuan rumah’ bagi majlis kesyukuran yang diadakan pada Jumaat minggu lalu.

“Laksa berkenaan dimasukkan ke dalam peti sejuk sebaik lelaki itu tiba dari Kedah pada jam 4 petang Khamis. Laksa berkenaan kemudian dihidangkan kepada tetamu kira-kira jam 12.30 tengah hari keesokannya selepas dikeluarkan dari peti sejuk pada jam 9 pagi hari sama.

“Cara penyediaan adalah hanya menuang air panas pada mi laksa itu dan ia ditapis. Mi laksa itu dimasak sepenuhnya di Baling dan dibungkus seperti mi sanggul.

“Kuah laksa disediakan oleh tuan rumah sendiri pada malam 4 Oktober yang kemudian disimpan dalam periuk dan dibiarkan panas semalaman,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, daripada 27 orang yang dipercayai menikmatinya hanya 23 orang yang menunjukkan simptom keracunan makanan.

“Kesemua mereka mengalami simptom cirit-birit, muntah, demam, sakit kepala dan sakit perut dipercayai selepas makan laksa berkenaan.

“Tiga orang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan seorang dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Cheras. Kesemua mereka berusia antara lapan tahun hingga 36 tahun.

“Selebihnya hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar membabitkan mangsa yang berusia antara setahun hingga 69 tahun. Semua pesakit dalam keadaan stabil,” katanya.

5412 dibaca
Berita Harian X