Khamis, 11 Oktober 2018 | 2:32pm
DZULKEFLY (empat dari kanan) dan Ng Zhu Hann (tiga dari kanan) bergambar bersama guru besar ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Kelas Tambahan UPSR kepada sekolah angkat Forest City di SK Ladang Pendas, Gelang Patah. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Forest City salur dana RM95,180 untuk lima sekolah angkat

ISKANDAR PUTERI: Forest City meneruskan agenda memperkasakan pendidikan apabila menyalurkan cek bernilai RM95,180 kepada lima sekolah angkat dalam majlis di Sekolah Kebangsaan Ladang Pendas, Gelang Patah di sini, hari ini.

Pengarah Strategi Country Garden Pacific View (CGPV), Ng Zhu Hann, berkata penyerahan sumbangan dana pendidikan itu antara inisiatif tahunan CGPV yang dilaksanakan sejak tahun lalu.

“Sebagai pemaju pemaju projek pembangunan bercampur Forest City, CGPV terus melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) bersama komuniti setempat.

“Kami di Forest City percaya sumbangan ini sangat bernilai dalam memastikan kestabilan pendidikan generasi muda masa depan,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kelas Tambahan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018, di sini hari ini.

Majlis penyerahan sumbangan berkenaan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad.

Lima sekolah angkat menerima dana pendidikan itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Morni Pok, SK Tanjung Adang, SK Ladang Pendas, SK Tanjung Kupang dan SK Tiram Duku.

Katanya, pihaknya sedar terdapat komuniti di sekitar kawasan pembangunan Forest City tergolong dalam kategori keluarga berpendapatan dalam kelompok B40.

“Sehubungan itu, dengan berteraskan konsep terangkuman, CGPV secara aktif membantu golongan ini melamgkah maju seiring dengan pembangunan persekitaran melalui bidang pendidikan.

“CGPV turut merancang memperluaskan aktiviti CSR dalam Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Katanya, hubungan rapat antara CGPV bersama warga pendidik di sekolah angkat menjadi penggerak dalam memajukan pendidikan generasi muda.

“Kami amat berharap usaha ini dapat memanfaat murid untuk terus cemerlang dalam pendidikan di masa hadapan,” katanya.

207 dibaca
Berita Harian X