Jumaat, 14 September 2018 | 7:30pm
JANDAH Luang, (kanan) ditemui selamat selepas dilaporkan hilang lebih 18 jam di Sungai Antu, Bakong, Miri. - Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat

Warga emas hilang lebih 18 jam ditemui selamat

MIRI: Selepas lebih 18 jam dilaporkan hilang, seorang lelaki warga emas ditemui selamat di sebuah pondok kebun berhampiran Sungai Antu, Bakong, di sini, pagi tadi.

Jandah Luang,88, ditemui pasukan bomba sukarela (PBS) Entulang pada jam 6.30 pagi selepas dilaporkan hilang pada jam 5 petang semalam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata mangsa ditemui pada jarak lima kilometer dari rumah panjang di Sungai Antu.

Katanya, mangsa yang ditemui selamat bagaimanapun masih lemah dan kelaparan.

“Mangsa dikatakan bermalam di pondok berkenaan selepas gagal mencari jalan pulang ke rumahnya di Rumah Brauh, Sungai Entulang sejak semalam.

“Mangsa dilaporkan keluar pada jam 1 petang untuk memukat di sungai berhampiran. Bagaimanapun, mangsa tidak pulang sehingga jam 5 petang,” katanya.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada jam 8.29 malam hari sama selepas menerima laporan kehilangan daripada keluarga mangsa.

“Operasi membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, PBS Entulang dan penduduk kampung sehingga mangsa ditemui selamat pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan sebelum diserahkan semula pada keluarganya.

170 dibaca
Berita Harian X