Jumaat, 14 September 2018 | 6:10pm
PENDUDUK Blok C bermasalah untuk kegiatan harian mereka berhubung masalah lif yang dihadapi sejak 25 hari lalu. - Foto Rosela Ismail
ZURAIDA Kamaruddin. - Foto BERNAMA

KPKT sedia bantu penduduk Mutiara Fadason

PETALING JAYA: Kesengsaraan hampir 1000 penduduk yang berdepan masalah ketiadaan lif di Blok C, Rumah Pangsa Mutiara Fadason, Kepong, di sini, mendapat perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata kementeriannya sedia meneliti masalah lif berkenaan, seterusnya mencari jalan penyelesaian bagi penduduk rumah pangsa setinggi 18 tingkat itu.

Katanya, walaupun rumah pangsa berusia hampir 15 tahun itu di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ada ruang boleh digunakan untuk mencari penyelesaian segera.

“Lagipun, KPKT dipertanggungjawabkan untuk membentuk Dasar Perumahan Negara, yang akan meletakkan semua pihak berkaitan di bawah satu bumbung, termasuk DBKL yang akan tertakluk pada dasar yang akan kita keluarkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.


LIFT rosak menyukarkan penduduk melakukan kerja-kerja harian di flat Taman Mutiara Fadason, Kepong. - Foto Rosedan Wahid

Semalam, akhbar Harian Metro melaporkan kesusahan hampir 1000 penduduk Blok C, Mutiara Fadason terpaksa menggunakan tangga apabila satu-satunya lif di rumah pangsa itu yang masih berfungsi, rosak sejak 25 hari lalu.

Rumah pangsa kos rendah itu mempunyai dua unit lif untuk kegunaan penduduk, namun sejak dua tahun lalu hanya satu lif yang berfungsi.

Selain mengambil masa yang lama untuk naik dan turun tangga, ada penduduk tercedera akibat terjatuh, ketiadaan lif menyukarkan pergerakan golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Penduduk kemudian meminta pihak berkaitan iaitu KPKT dan Kementerian Wilayah Persekutuan campur tangan dalam isu berkenaan.

250 dibaca
Berita Harian X