Jumaat, 14 September 2018 | 3:44pm
JANTAN Becik, 65, meneliti kerosakan pada pangkin nelayan beristirahat akibat tempias air pasang besar di pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah. - Foto Hassan Omar

Tempias air pasang besar rosakkan pangkin nelayan

ALOR GAJAH: Jangkaan nelayan di Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di sini, kawasan mereka terkecuali daripada fenomena air pasang besar ternyata meleset apabila tempias kejadian itu merosakkan pangkin mereka, malam tadi.

Dalam kejadian antara jam 11 malam hingga 5 pagi itu, sebahagian besar daripada pangkin yang diperbuat daripada papan itu rosak akibat dilanda air pasang besar.

Nelayan, Jantan Becik, 65, berkata dia terkejut apabila mendapati kaki pangkin yang menghadap laut patah dan hampir tenggelam dalam timbunan pasir yang dibawa oleh air pasang besar ketika bersiap untuk turun ke laut, pagi tadi.

“Saya percaya air pasang besar naik tengah malam hingga awal pagi tadi menyebabkan bahagian depan pangkin ini rosak.

“Ia (pangkin) menjadi tempat saya dan rakan nelayan lain untuk beristirahat selepas penat menangkap ikan,” katanya ketika ditemui.

Walaupun pembinaan pangkin itu tidak membabitkan kos yang tinggi, ia tetap merugikan kerana paku dan papan tidak diperoleh secara percuma.

Azmil Becik, 27, yang mengikuti bapanya turun ke laut untuk menjaring ikan berkata, tempias air pasang besar turut menyebabkan pantai berkenaan menjadi curam ketika air surut.

“Air pasang besar jarang berlaku, tetapi apabila ia datang, lazimnya ada kerosakan yang berlaku sama ada pada perahu yang diletakkan terlalu hampir dengan pantai, pangkin tempat nelayan beristirahat atau tempat menyimpan peralatan menangkap ikan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan nelayan di situ sudah menarik perahu masing-masing jauh dari gigi pantai bagi memastikan ia tidak menjadi mangsa fenomena berkenaan.

113 dibaca
Berita Harian X