;
Khamis, 17 Mei 2018 | 3:42pm
PEMILIK premis perniagaan di Oceanus Mall, Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan

Pelabur tuntut RM38j tunggakan sewa di Oceanus

KOTA KINABALU: Lebih 230 pelabur bagi projek Waterfront Kota Kinabalu di sini, menuntut keadilan berhubung isu tunggakan bayaran 'sewa balik' berjumlah RM38 juta yang tidak dibayar pihak penjamin.

Kumpulan terbabit yang menggelar diri mereka sebagai 'Oceanus 50' mendakwa unit komersial di pusat beli-belah Oceanus bagi projek itu dijual secara sewa balik mengikut perjanjian penyewaan yang dijamin Sunsea Development Sdn Bhd (Sunsea).

Sunsea adalah pemaju projek membabitkan fasa satu iaitu pusat beli-belah Oceanus, Hotel Marriot dan Pelagos Designer Suites, manakala fasa dua iaitu pasar UNCHR belum dibangunkan di Waterfront Kota Kinabalu.

Projek itu dilaksanakan menerusi usaha sama dengan DBKK Holdings Sdn Bhd (DBKK Holdings) sebagai pemilik tanah.

Kumpulan itu yang diketuai Datuk CK Tan, berkata pemaju berhutang dengan pembeli sebanyak RM38,787,344.74, membabitkan sewa terkumpul yang tidak dibayar sehingga 31 Disember tahun lalu.

"Pada Jun 2016, kami sudah berjumpa dengan Datuk Bandar Kota Kinabalu dan memberi taklimat mengenai masalah lewat pembayaran sewa dan dia bersetuju bahawa fasa kedua projek itu tidak dimulakan.

"Pada penghujung 2017, atau awal tahun ini, kami percaya DBKK memberi persetujuan kepada Sunsea yang ditugaskan untuk projek fasa dua kepada Sunsea Development (Sinsuran) Sdn Bhd," katanya pada sidang media di pusat beli-belah Oceanus di sini, hari ini.

Tan yang juga antara pembeli unit premis dalam projek itu berkata, mereka sudah menghubungi pasukan undang-undang dan akan mendapatkan bantuan pemimpin politik untuk mencari penyelesaian termasuk menuntut kerugian pelabur.

Katanya, pihaknya juga akan meminta Jabatan Tanah dan Ukur untuk mempercepatkan pengeluaran hak milik anak syarikat kepada pembeli.

"Kami mahu keadilan kerana sebahagian daripada kami ada yang menjual rumah untuk membuat pinjaman dengan harapan mampu memiliki dana persaraan dengan melabur dalam projek ini," katanya.

689 dibaca
Berita Harian X