Isnin, 16 April 2018 | 10:18pm
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar (empat dari kiri) bersama anggota My Bomba Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Parlimen Hulu Selangor di Pangsapuri Seri Cempaka hari ini. - Foto Amrullah Abdul Karim

BBP dibina di Hulu Selangor demi keselamatan penduduk

BUKIT BERUNTUNG: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang kini dalam pembinaan bersebelahan Balai Polis Bukit Sentosa, dijangka siap pada November tahun ini.

Sementara klinik kesihatan (KK) Bukit Sentosa dirancang dibina jika Barisan Nasional (BN) dapat merampas semula Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata kedua-dua projek prasarana awam itu menjadi keperluan utama penduduk di sekitar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung yang kini melebihi 120,000 orang.

"Pembinaan balai bomba ini mengalami sedikit kelewatan, namun kita atasi dengan melantik kontraktor penyelamat. Saya diberitahu pembinaan balai bomba baharu ini akan siap November ini.

"Kita segerakan kerana balai bomba penting untuk keselamatan penduduk di kawasan ini," katanya ketika berucap pada Program Rakyat Sejahtera Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan; Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Azmi Osman.

Noh yang juga Menteri KPKT berkata, Klinik Kesihatan Serendah tidak lagi mampu menampung jumlah penduduk yang semakin meningkat dan kerana itu pembinaan klinik kesihatan Bukit Sentosa disenaraikan dalam manifesto BN Selangor.

"Saya yakin kalau BN menang, orang Hulu Selangor akan dapat keperluan perubatan yang lebih baik. Saya tengok tapak klinik (Bukit Sentosa) sudah ada. BN menang sahaja kita akan buat klinik," katanya.

Beliau turut menyatakan janji untuk mewujudkan pusat dialisis dilengkapi perkhidmatan ambulans di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Batang Kali, Kuala Kubu Bharu dan Hulu Bernam jika BN menang di Selangor.

Pada program sama, Noh turut diperkenalkan dengan anggota My Bomba Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) yang berfungsi sebagai penyalur maklumat dan melakukan tindakan awal dalam komuniti jika berlaku kebakaran di kawasan perumahan.

457 dibaca
Berita Harian X