Isnin, 16 April 2018 | 11:52am
SHAHAR (tengah) bergambar selepas menyampaikan hadiah kepada penduduk setempat sempena Program Santai Rakyat di FELDA Lepar Hilir. - Foto ihsan UMNO Paya Besar

Manifesto BN Pahang tumpu soal perumahan

KUANTAN: Memudahkan pemilikan rumah dan penyediaan tapak tanah bagi pembinaan kediaman antara inti pati khusus untuk golongan muda dijangka terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Pahang.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Shahar Abdullah, berkata beliau yakin manifesto bakal dibentang Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob itu akan melengkapi kepada lapan inisiatif khas untuk orang muda terkandung dalam Manifesto BN Pusat diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

"Aspek perumahan dan penyediaan tapak membina rumah bagi orang muda adalah penting bagi menambah penduduk di Pahang dalam usaha mewujudkan persekitaran ekonomi positif.

"Saya jangka perkara berkenaan akan disentuh dalam Manifesto BN Pahang dan ia membuktikan keprihatinan kepemimpinan parti ke atas golongan muda yang memerlukan pembelaan dalam aspek perumahan, ekonomi serta pekerjaan," katanya selepas Program Santai Rakyat di FELDA Lepar Hilir 2, dekat sini, malam tadi.

Shahar yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar, berkata jika dua aspek berkenaan menjadi realiti dan dilaksanakan, ia mampu mewujudkan kitaran ekonomi positif yang manfaatnya dinikmati rakyat secara keseluruhannya.

"Ia juga dapat meningkatkan jumlah penduduk di Pahang kerana rakyat tidak perlu berhijrah ke luar. Mereka boleh memiliki kediaman sendiri di negeri ini dan bekerja atau mengusahakan perniagaan," katanya.

Mengenai Program Santai Rakyat, Shahar berkata, ia dapat mendekatkan orang muda dengan golongan tua dan kanak-kanak yang memerlukan satu sama lain dalam kehidupan seharian.

"Orang muda tidak boleh bersendirian dan perlu bersama semua golongan, kita laksanakan pelbagai aktiviti dalam Program Santai Rakyat termasuk aspek keagamaan serta sukan," katanya.

276 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »