Ahad, 15 April 2018 | 2:01pm
SERAMAI 14 pelajar SBJK diraikan pada Majlis Apresiasi Khas Jalinan Bersama Amal Terbina (JABAT) anjuran Mahasiswa Mahasiswi Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur Sesi Januari 2018/2019 di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto NSTP

Masih ada yang peduli

KUALA LUMPUR: "Sebelum ini saya hanya mampu melihat KLIH (Kuala Lumpur International Hotel) dari luar sahaja kerana tinggal berhampiran kawasan Chow Kit. Namun malam ini saya berpeluang untuk masuk dan menikmati hidangan di dalam hotel ini," luah pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Nor Shakira Abdullah, 16.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah Nor Syakira apabila dia dan 13 pelajar SBJK lain diraikan dalam Majlis Apresiasi Khas Jalinan Bersama Amal Terbina (JABAT) anjuran mahasiswa dan mahasiswi Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur Sesi Januari 2018/2019, malam tadi.

JABAT adalah tema program program kemasyarakatan 'Overseas Community Service Learning' selama tiga hari iaitu 29-31 Mac lalu di Bukit Tinggi, Padang, Indonesia yang dijayakan mahasiswa dan mahasiswi terbabit.

Menceritakan keperitan yang dihadapi dirinya bersama tiga adiknya yang turut ditempatkan di SBJK, katanya, dia terpaksa berkongsi sebuah bilik sewa di sekitar Chow Kit dengan 10 ahli keluarga lain.

"Bapa saya mencari rezeki dengan menjual barang seperti jam, tali pinggang dan aksesori telefon di sekitar Chow Kit serta Kotaraya. Bapa tidak mampu untuk menyewa rumah kepada kami sekeluarga.

"Kami hanya tinggal di sebuah bilik dikongsi bersama 10 ahli keluarga lain," katanya yang ditemui sejurus majlis berkenaan, malam tadi.

Dalam majlis berkenaan turut disampaikan beberapa anugerah kepada penuntut dan Pengarang Berita BH, Saufi Hamzah yang juga salah seorang mahasiswa menerima Anugerah Pelapor Media Terbaik.

Menurut Nor Syakira, dia teringin untuk masuk dan tidur hotel berkenaan, namun dengan keadaan kehidupan keluarganya, keinginan itu tidak mungkin akan tercapai.

"Namun, malam ini (malam tadi) saya berpeluang untuk masuk dan menikmati juadah di hotel. Walaupun tidak dapat tidur, itu sudah cukup dan saya berterima kasih kepada pihak penganjur yang mengambil berat terhadap kami," katanya.

Sehubungan itu, Pengetua SBJK, Zulkernai Fauzi berkata, usaha yang dilakukan ahli JABAT patut dicontohi oleh agensi lain dengan memberi peluang kepada anak-anak yang kurang bernasib baik ini merasai kegembiraan seperti kanak-kanak lain.

"Kami sering menerima sumbangan dan sebagainya. Namun program meraikan anak-anak di hotel seperti ini adalah kali pertama sejak SBJK beroperasi pada 19 Ogos 2013," katanya.

613 dibaca
Berita Harian X