Ahad, 15 April 2018 | 1:46pm
BEKAS Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (tiga dari kiri) Hari Keluarga Kawasan DUN Kijal, di Pantai Teluk Kalong. - Foto Rosli Ilham

Kerajaan negeri tepati janji bangunkan Kijal

KEMAMAN: Warga Kijal di sini bersyukur kerana kerajaan negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sudah meluluskan peruntukan RM250 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek termasuk pembangunan Bandar Baharu Kijal.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman, berkata rakyat di Kijal bersyukur kerana peruntukan berkenaan adalah kesinambungan kepada perancangannya ketika menjadi Menteri Besar.

Ahmad yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berkata, peruntukan itu menggembirakan warga Kemaman yang mahukan pembangunan yang sepadan dengan daerah perindustrian itu.

"Nampaknya tiga projek sudah dilaksanakan iaitu perumahan rakyat yang saya luluskan dulu sebanyak 250 unit dan projek pembesaran jalan utama dari Kijal ke Kemasik yang akan siap September nanti serta pembinaan fasa kedua Bandar Baru Kijal," katanya pada perasmian Hari Keluarga Kawasan DUN Kijal, di Pantai Teluk Kalong.

Ahmad berkata, dua lagi projek pada tahun 2013 iaitu pembinaan Dewan Orang Ramai di Kampung Seri Bandi serta pembinaan terusan di kawasan Teluk Kalong masih belum dilaksanakan.

"Kekuatan sesebuah parti dilihat pada janji semasa pilihan raya dan janji kita bukan bersifat peribadi sebaliknya itu janji parti kepada rakyat dalam memastikan rakyat menikmati pembangunan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Razif pada majlis lain berkata, pembangunan Bandar Baru Kijal akan diteruskan dan antara projek yang sedang berjalan di situ ialah pembinaan Hospital Kemaman yang mempunyai 300 buah katil termasuk kuarters kakitangan hospital yang bernilai RM420 juta.

"Turut akan dibina di situ ialah, sebuah bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman membabitkan peruntukan sebanyak RM80 juta.

"Kita juga membina tiga buah gelanggang Futsal tertutup, lapan unit panggung wayang serta pusat bowling 24 lorong dan pembinaan sedang rancak berjalan," katanya.

Pemaju juga sedang mereka bentuk Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) merangkumi lima blok 12 tingkat merangkumi 100 unit kediaman.

"Kita akan turut membina Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sesyen di kawasan itu, " katanyapada Majlis Ramah Mesra bersama ketua jabatan, warga pendidik dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung J3K daerah Kemaman.

461 dibaca
Berita Harian X