Ahad, 15 April 2018 | 11:39am
TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) bersama wakil penaja yang menerima sijil penghargaan pada Majlis Makan Malam Amal Menjunjung Kasih 2018 anjuran Drugs Intervention Community (DIC) - KOMITED Malaysia di Bukit Gambang Resort di sini, malam tadi. - Foto Shahrinnahar Latib

Laksana program pemulihan dadah kepada keluarga penagih

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta pihak berwajib membuat perancangan jangka panjang bagi melaksanakan program pemulihan dadah khas untuk ahli keluarga penagih.

Baginda bertitah, kesedaran di peringkat ahli keluarga diperlukan supaya penagih dadah ini tidak akan mengulangi perbuatan tidak bermoral itu selepas menjalani program pemulihan.

"Saya perhatikan jika kita tidak melaksanakan program pemulihan kepada ahli keluarga, mungkin proses membendung atau memulihkan penagih ini sukar untuk dicapai.

"Sebab itu saya lebih suka kalau program kaunseling kepada keluarga yang terbabit diteruskan supaya masalah sosial ini dapat dikurangkan pada masa akan datang," titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika menyampaikan titah diraja pada Majlis Makan Malam Amal Menjunjung Kasih 2018 anjuran Drugs Intervention Community (DIC) - KOMITED Malaysia di Bukit Gambang Resort di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Pengelola DIC-KOMITED Malaysia, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail.

Baginda bertitah, kerajaan negeri, polis, DIC-KOMITED Malaysia, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan agensi kerajaan lain boleh memikirkan cara yang sesuai bagi melaksanakan program pemulihan untuk keluarga ini.

"Masalah penagihan dan pengedaran dadah perlu ditangani dengan segera kerana ia penyumbang kepada perlakuan jenayah lain. Sebab itu penting untuk ahli keluarga terbabit sekali dalam proses pemulihan ini," titah baginda.

Sementara itu, Tengku Abdullah juga bertitah, masalah penyalahgunaan dadah di kawasan FELDA di negeri ini perlu ditangani dengan satu tindakan yang serius dan komited.

"Saya mahu peratusan penagih dadah di FELDA dapat diturun kerana setiap tahun saya diberi laporan oleh pihak polis mengenai masalah penagihan dadah di FELDA yang agak serius dan semakin meningkat," titah baginda.

415 dibaca
Berita Harian X