Sabtu, 14 April 2018 | 8:48pm
TAJUDDIN (empat dari kiri) menyampaikan bantuan khas kepada wakil pesawah pada Majlis Penyerahan Pembayaran Bantuan Khas Pesawah sementara menunggu hasil tuaian padi 2018 di Arena Square Chenderong Balai, Teluk Intan. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Pesawah Perak terima bantuan khas

TELUK INTAN: Seramai 11,843 pesawah di Perak bakal menerima manfaat bantuan khas pesawah sementara menunggu hasil tuaian padi tahun ini, membabitkan peruntukan RM7.1 juta.

Mereka adalah kumpulan ketiga menerima bantuan berkenaan selepas Selangor dan Pulau Pinang seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Bajet 2018 lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata setiap pesawah menerima bantuan khas RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan.

"Bantuan akan diberi secara tunai melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing bermula Selasa ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Pembayaran Bantuan Khas Pesawah di sini, hari ini.

Tajuddin berkata, penerima di Perak membabitkan pesawah dari Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan Seberang Perak, luar jelapang daerah Perak Tengah, luar jelapang daerah Kuala Kangsar, luar jelapang daerah Hilir Perak, luar jelapang daerah Larut Matang dan Selama serta Felcra Seberang Perak.

Seorang penerima, Nor Sham Hashim, 46, berkata bantuan itu besar maknanya bagi pesawah sementara menunggu musim menuai.

Katanya, bantuan itu akan digunakan untuk menambah bekalan baja dan racun bagi memastikan kualiti hasil pengeluaran dalam tahap terbaik.

"Bantuan itu dapat membantu mengurangkan beban sementara menunggu hasil dituai," katanya katanya yang mengusahakan sawah di Seberang Perak, Kampung Gajah.

Mahidin Ismail, 65, yang mengusahakan sawah di Titi Gantong, Perak Tengah berkata, sumbangan itu membuktikan kerajaan prihatin dan membela masyarakat pesawah, baik dalam jelapang atau di luar jelapang.

"Kami bersyukur dengan bantuan ini dan berharap kerajaan akan mengambil berat mengenai pesawah selain berharap ia dapat diteruskan setiap musim," katanya.

347 dibaca
Berita Harian X