Sabtu, 14 April 2018 | 8:38pm
DATUK Seri Idris Haron (tengah) bersama Datuk Muhammad JK Noah Abdullah (dua dari kanan) dan EXCO Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Lim Ban Hong (dua dari kiri) melancarkan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Pulau Upeh di Pulau Upeh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Pulau Upeh dinaiktaraf ikon pelancongan baharu Melaka

MELAKA: Kerajaan negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI) bakal membangunkan semula Pulau Upeh yang terbiar, menerusi kerja baik pulih dan naiktaraf bangunan terbiar membabitkan peruntukan RM20 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata, Pulau Upeh seluas 2.6 hektar (6.53 ekar) akan dibangunkan dalam tempoh 18 bulan, sebagai Pulau Upeh Wellness Resort and Spa, satu lagi ikon pelancongan baru di negeri ini yang menggunakan teknologi solar terapung.

"Pulau terletak berhampiran Pantai Klebang, mempunyai beberapa chalet dan bangunan pelancongan yang terbiar usang.

"Namun melalui pembangunan semula kali ini, 39 daripada 92 unit chalet akan dibaikpulih dan dinaiktaraf pada fasa pertama.

"Ia akan menerapkan unsur seni bina dari pelbagai kaum di Malaysia seperti bumbung pagoda, kemasan dinding, ukiran, papan cantik dan tangga serta pembinaan santuari penyu karah," kata Idris, sambil mengesahkan Pulau Upeh menjadi tumpuan kaki pancing.

Beliau berkata demikian, hari ini, pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Pulau Upeh oleh CMI dan Mrails International Sdn Bhd di pulau berkenaan, yang menjadi pulau tunggal di Malaysia sebagai lokasi pendaratan penyu karah.


PULAU Upeh seluas 2.6 hektar (6.53 ekar) akan dibangunkan dalam tempoh 18 bulan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Hadir sama, EXCO Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa negeri, Datuk Lim Ban Hong; Pengurus Besar CMI, Datuk Ab Rahman Ismail serta Presiden dan Pengarah Urusan Mrails International Sdn Bhd, Datuk Muhammad JK Noah Abdullah.

Katanya lagi, Pulau Upeh bakal menjadi The Pearl of Straits of Melaka atau Mutiara Selat Melaka apabila pembangunan besar dalam radius 10 kilometer seperti Gerbang Melaka (Melaka Gateway) dan Melaka Impression siap sepenuhnya nanti.

"Pembangunan semula ini akan menaikkan lagi jumlah kemasukan pelancong di Melaka sekali gus menyumbang kepada kenaikan pendapatan negeri serta penduduk setempat selain menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat," katanya lagi.

520 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »