Sabtu, 14 April 2018 | 6:46pm
MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (tiga dari kanan) melihat pelan Perumahan Rakyat pada Majlis Pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Charok Sikin. - Foto Safuri Kamarudin

RM902.5 juta peruntukan bina rumah PPR di Kedah

BALING: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntukkan RM902.5 juta untuk membina 5,910 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kedah.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,494 unit rumah sudah siap dibina manakala 1,416 unit sedang dilaksana dan 2,000 unit dalam perancangan.

Katanya, kerajaan juga sudah meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM97.5 juta bagi pembinaan 500 unit rumah teres satu tingkat termasuk kemudahan surau, dewan komuniti, TABIKA, TASKA dan kedai.

"Program ini untuk membantu golongan berpendapatan isi rumah bawah RM3,000 sebulan dapat memiliki rumah sendiri kerana kerajaan memberi subsidi kepada rakyat.


MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (tiga dari kanan) melihat pelan Perumahan Rakyat pada Majlis Pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Charok Sikin. - Foto Safuri Kamarudin.

"Kos membina rumah itu berjumlah RM195,000 seunit dan dijual pada harga RM35,000. Ini bermakna Kerajaan Persekutuan memberi subsidi sebanyak RM160,000 kepada penerima," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran PPR Baling di Kampung Charok Sikin, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mantek dan Pegawai Daerah Baling, Datuk Md Shuhaimie Abd Rahman.

Noh berkata, antara projek PPR yang sudah siap ialah di Paya Nahu, Aman Jaya di Sungai Petani, Kuah Langkawi, Kubang Pasu dan Seri Intan, Alor Setar.

Katanya, PPR yang masih dalam pembinaan pula di daerah Alor Setar, Kuala Nerang dan Ayer Hitam manakala dalam perancangan di Bakar Bata, Ulu Melaka dan Kuah di Langkawi serta Baling.

Terdahulu, beliau meluluskan peruntukan RM10 juta untuk membangunkan tasik di Kampung Charok Sikin, Kupang, sebagai kawasan herba.

414 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »