Sabtu, 14 April 2018 | 6:20pm
LEPASAN pelajar dan orang ramai mendaftar ketika tiba di Karnival Kerjaya SPA 2018 di Dewan Sri Sulaman. - Foto Khairull Azry Bidin
MENTERI Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Noor ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya SPA 2018 di Dewan Sri Sulaman. Khairull Azry Bidin

Karnival SPA bantu belia dapat kerja

TUARAN: Karnival Kerjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di daerah ini adalah antara usaha kerajaan untuk membantu belia mendapatkan pekerjaan secara terus menerusi temuduga yang dijalankan sepanjang acara ini diadakan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Noor, berkata program itu adalah bukti khidmat penyampaian daripada kerajaan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah lupa kepada golongan muda dan inilah yang sebenarnya dilakukan kerajaan yang sentiasa prihatin mencari jalan bagaimana kita memberi peluang kepada anak kita untuk mendapatkan pekerjaan di merata daerah seluruh negara.

"Kali ini, karnival dibuat di Tuaran dan saya harap mereka yang mempunyai kelayakan sesuai boleh mendapat peluang pekerjaan di sektor awam yang mempunyai kekosongan.

"Karnival ini diharap memberi peluang kepada belia yang menganggur tetapi ada kelayakan yang baik," katanya ditemui selepas merasmikan Program Kerjaya SPA Malaysia di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, hampir 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan hari ini bukan sahaja daripada agensi kerajaan dan swasta.

"Antara pengisian karnival ini termasuk peluang pekerjaan 'on the spot' yang menjadikan karnival ini lebih menarik dan berjaya mencapai objektif penganjuran karnival iaitu membolehkan pencari kerja menjawat jawatan yang bersesuaian dengan minat dan kelayakan masing-masing.

"Malah pencari kerja turut diberi pelbagai tips mengenai persiapan menghadapai temuduga selain panduan penyediaan resume diberikan SPA dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Ini sebenarnya sebagai 'soalan bocor' kepada belia yang hadir. Oleh itu, ia amat berguna kepada belia untuk membantu membuat persiapan menghadiri temuduga," katanya.

Hajiji yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman turut menasihatkan belia di Tuaran yang datang ke karnival itu supaya mengambil kesempatan berkenaan untuk mendapatkan pekerjaan dan tips temuduga.

"Saya menyeru belia yang hadir ke karnival ini supaya lebih kreatif dan tidak terlalu menumpukan pencarian pekerjaan di sektor awam semata-mata kerana jumlah jawatan adalah sedikit berbanding dengan jumlah calon yang memohon.

"Persaingan menyertai sektor awam semakin sengit ekoran lambakan graduan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di negara ini sama ada di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda," katanya.

Terdahulu, Hajiji berkata, program seumpama itu bakal diteruskan dan akan dibuat lagi dalam masa terdekat selepas melihat sambutan menggalakkan daripada belia di daerah ini.

"Kita minta SPA supaya program ini bukanlah kali terakhir dilakukan. Kalau boleh, datang lagi (di Tuaran) kerana apa yang kita lihat bukan belia dari Tuaran saja yang hadir malah dari daerah lain termasuk Labuan datang mencari kerja di sini," katanya.

390 dibaca
Berita Harian X