;
Rabu, 14 March 2018 | 7:51pm

Penduduk resah Sungai Masai kotor

PASIR GUDANG: Keadaan Sungai Masai di sepanjang 1.5 kilometer, dekat sini, bukan sahaja kotor, malah mengeluarkan bau busuk yang meloyakan sehingga meresahkan kira-kira 2,000 penduduk di tiga kampung.

Keadaan yang berlarutan lebih 10 tahun itu juga menjejaskan pendapatan seramai 173 nelayan termasuk pengusaha ternakan kupang.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz, berkata Sungai Masai menjadi lokasi utama nelayan dari perkampungan Orang Asli, Kampung Pasir Gudang Baru dan Kampung Kuala Masai, mencari rezeki.

"Sungai ini dipercayai tercemar dengan bahan buangan daripada pelbagai sumber termasuk air dari loji kumbahan di Taman Bukit Dahlia dan Taman Masai Utama, dekat sini.

"Pencemaran bulan ini agak teruk kerana musim panas turut menyumbang kepada bau busuk apabila air cetek sehingga sungai bertukar warna menjadi hitam.

"Nelayan tidak hanya kecewa kerana hasil tangkapan berkurangan, air yang kotor dan bot tidak boleh beroperasi, malah mereka amat terkesan kerana kerugian 30 hingga 50 peratus pendapatan harian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan bantahan mengenai isu pencemaran sungai di Pengkalan Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru, di sini, hari ini.

Azli berkata, nelayan terpaksa beralih ke kawasan yang lebih jauh seperti Kuala Sungai Johor dan Laut China Selatan untuk menangkap ikan, sekali gus meningkatkan kos operasi.

"Kami bukan hanya mahu mereka (pihak berkuasa) datang sekadar mengambil sampel air sungai. Ujian air pun dijalankan sewaktu air sedang penuh, dalam keadaan air yang bersih. Bantu kami cari penyelesaian jangka panjang.

"Fikirkan penduduk yang berniaga makanan bersebelahan sungai, ada pasar nelayan. Kami juga merancang untuk terbabit dalam aktiviti agropelancongan," katanya.


WARNA air yang keruh dari Sungai Masai akibat pencemaran di Kampung Pasir Gudang Baru, Pasir Gudang. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Sementara itu, nelayan dari Kampung Pasir Gudang Baru, Mohd Yusof Jantan, 68, berkata Sungai Masai menjadi habitat ikan kerapu, siakap, jahan, ketam dan udang.

Bagaimanapun, katanya, segala bentuk pencemaran menyebabkan sumber air menjadi kotor.

Katanya, pihaknya berharap agensi berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Alam Sekitar, selain Jabatan Pengairan dan Saliran bertindak segera bagi mengelakkan keadaan sungai bertambah buruk.

555 dibaca
Berita Harian X