Rabu, 14 March 2018 | 6:13pm
DATUK Seri Idris Haron pada sidang media Mesyuarat Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

Penguat kuasa PBT terima elaun khas bulanan

AYER KEROH: Kira-kira 2,500 anggota penguat kuasa di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini, bakal menikmati elaun khas bulanan mulai Jun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pemberian elaun itu sebagai motivasi meningkatkan prestasi kerja, selain menghargai jasa mereka yang terpaksa menghadapi pelbagai cabaran ketika menjalankan tugas.

Beliau berkata, setiap penguat kuasa di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah akan menerima elaun RM150, manakala penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah, Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya pula RM100.

"Cadangan dikemukakan dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri hari ini, diluluskan dan ia akan diperhalusi lagi sebelum elaun dibayar mulai Jun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri, hari ini.

Sementara itu, Idris berkata, kerajaan negeri akan mengagihkan 20,000 unit cermin mata kepada golongan kurang bernasib baik berusia lebih 55 tahun di Melaka.

"Pengagihan cermin mata ini akan dilakukan secara berperingkat dengan harapan dapat mengurangkan beban penerima.

"Kita (kerajaan) prihatin terhadap nasib rakyat kurang berkemampuan dan sudah pasti tumpuan diberikan kepada penduduk luar bandar berusia 55 tahun ke atas yang mengalami masalah penglihatan," katanya.

495 dibaca
Berita Harian X