;
Rabu, 14 March 2018 | 4:02pm
PUAD dan Zaidi (tengah) bergambar bersama ahli Persatuan Bisu dan Pekak Batu Pahat sempena sambutan Tahun Baharu Cina persatuan itu di Batu Pahat, hari ini.
PUAD (kiri) bersama ahli Persatuan Bisu dan Pekak Batu Pahat menggaul yee sang pada program Sambutan Tahun Baharu Cina persatuan itu di Batu Pahat, hari ini.
ACARA sukaneka memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Bisu dan Pekak Batu Pahat di Batu Pahat, hari ini.

OKU pekak, bisu Batu Pahat berhimpun

BATU PAHAT: Kehadiran wakil persatuan orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan bisu dari luar negara, memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Bisu dan Pekak Batu Pahat, di sini hari ini.

Program dianjurkan dengan kerjasama UMNO Bahagian Batu Pahat itu dirasmikan oleh Ketua UMNO bahagian berkenaan yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) , Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Zaidi Japar serta Pengerusi Biro Kebajikan UMNO bahagian berkenaan, Hamidi Mohd Tap yang turut menyertai acara menggaul 'yee sang' bersama Mohd Puad dan ahli persatuan terbabit.

Pelbagai aktiviti diadakan pada program itu yang turut dihadiri anak dan ahli keluarga OKU berkenaan, termasuk sukaneka dan acara cabutan bertuah, menjadikan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini lebih bermakna.

Jurucakap persatuan berkata, kehadiran beberapa wakil persatuan orang bisu dan pekak dari luar negara seperti Kazakhstan dan Singapura menjadikan sambutan kali ini lebih meriah.

"Kerjasama dan kemesraan menjayakan aktiviti membuatkan suasana kekeluargaan dalam kalangan golongan senasib semakin dirasai. Semua ahli persatuan datang beramai-ramai bagi menghidupkan semangat setia kawan," katanya.

Katanya, apa yang lebih membanggakan, semua persiapan bagi menjayakan program itu seperti menyediakan juadah dan menghias lokasi aktiviti turut dilakukan sendiri oleh ahli persatuan terbabit secara bergotong-royong.

"Semua ahli yang hadir bekerjasama membuat persiapan seperti mempersiapkan juadah dan bergotong-royong mengemas ruang yang digunakan. Jelaslah bahawa jiwa 1Malaysia dalam kalangan warga bisu dan pekak, khususnya di daerah ini sangat tinggi," katanya.

Pada majlis berkenaan, Mohd Puad memaklumkan peruntukan RM10,000 untuk disalurkan kepada Persatuan Bisu dan Pekak Batu Pahat selepas penubuhannya diluluskan secara rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) nanti.

295 dibaca
Berita Harian X