Selasa, 13 March 2018 | 9:41pm
Seorang lelaki bertindak tidur di kawasan bendang yang kering selama hampir 45 minit bertujuan bagi melengahkan tugas AADK dalam satu serbuan di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal, Kedah. - Foto ihsan AADK

Tidur dalam bendang elak ditahan

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki cuba melengahkan tugas pihak berkuasa dengan bertindak tidur di dalam bendang kering hampir 45 minit dalam satu serbuan Agensi Antidadah Kebangsaan ( AADK ) Daerah Kuala Muda di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal di sini hari ini.

Lelaki berusia 38 tahun yang dipercayai 'runner' barang itu turut bertindak pengsan dan melondehkan seluarnya sehingga menimbulkan kekecohan.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditahan hasil kerjasama penduduk kampung sebelum dibawa keluar dari kawasan itu.

Ketua Pegawai AADK Kuala Muda Shamshuri Yusoff berkata, lelaki berkenaan antara 14 individu yang ditahan dalam serbuan yang dipercayai menjadikan kawasan kebun kelapa sawit tempat melepaskan gian dadah jenis methamphetamine dan opiat.

"Dalam serbuan di lokasi pertama tiga individu ditahan ketika mereka masuk ke dalam 'port'.

"Bagaimanapun, selepas pemantauan dijalankan di kawasan sekitar, mereka yang lain berpindah ke kawasan baru iaitu berhampiran dengan kawasan bendang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shamshuri berkata, dalam serbuan di 'port' kedua berjaya menahan 11 individu yang ada antaranya melarikan diri masuk ke dalam hutan dan bendang berhampiran.

Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 23 hingga 49 tahun yang bekerja sebagai peniaga, mekanik, buruh am dan penganggur.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati semua individu yang ditahan positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

"Mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya.

1353 dibaca
Berita Harian X