;
Sabtu, 24 Februari 2018 | 7:31pm
MOHAMAD beramah mesra bersama kanak-kanak ketika hadir merasmikan bangunan Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Jiu Loong Gong, Seremban. - Foto Adzlan Sidek

Kerajaan tak pilih kaum beri bantuan

SEREMBAN: Kerajaan tidak pernah menjadikan latar belakang kaum sebagai kriteria bagi menentukan kelayakan seseorang untuk menerima bantuan kebajikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata sebaliknya faktor utama yang dipertimbangkan adalah tahap kesusahan atau kesulitan yang dihadapi golongan yang tidak bernasib baik, termasuk orang miskin, ibu tunggal serta orang kurang upaya (OKU).

"Kita tidak melihat kaum, agama atau warna kulit dalam memberi apa sahaja bantuan kebajikan, jika seseorang itu layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan, dia akan dibantu.

"Sejak menjadi Menteri Besar pada 2004, saya mewujudkan Dasar Jaringan Keselamatan Sosial untuk kita mengenal pasti dan merekodkan golongan yang perlu dibantu dan kita tidak meletakkan sebarang syarat mengenai kaum.

"Menjadi hasrat kerajaan untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan terutama berusaha mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian bangunan baharu Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Jiu Loong Gong di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Mohamad turut menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada persatuan itu yang menjalankan kerja amal membantu keluarga golongan kurang bernasib baik termasuk menyediakan pusat jagaan dan kelas tuisyen.

Mohamad dalam pada itu berkata, masyarakat Cina diminta memilih calon yang dapat mewakili mereka di dalam kerajaan ketika pilihan raya umum supaya kepentingan kaum berkenaan sentiasa dapat diberi perhatian.

"Walaupun tiada wakil rakyat Cina menjadi EXCO kerajaan negeri ketika ini, kepentingan mereka masih terjaga kerana kita adalah kerajaan yang prihatin dan adil.

"Tetapi, adalah lebih baik jika ada wakil kaum Cina dalam barisan EXCO kerajaan negeri yang pastinya akan lebih menjaga kepentingan dan isu berkaitan kaumnya sendiri," katanya.

216 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »