;
Sabtu, 24 Februari 2018 | 5:37pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Hafiz Sohaimi

Pelabur asing yakin kerajaan BN

PENGERANG: Kestabilan politik negara ini di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) membantu meyakinkan pelabur asing mengambil bahagian dalam dua projek gergasi di daerah ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata, malahan disebabkan kestabilan politik negara juga memberikan kepercayaan kepada pelabur asing melabur di seluruh negara ini.

"Di sini (Pengerang) kita ada projek mega Desaru Theme Park dan Projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) bertaraf antarabangsa. Kedua-duanya projek gergasi.

"Bila pelabur luar melabur, ia membuktikan mereka selesa dengan Pengerang yang dipimpin kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan hari ini.

"Mereka (pelabur luar) tak akan melabur sekiranya negara kita tidak stabil," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bas Muafakat Johor Pengerang di Tasik Bandar Penawar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Muhammed Ridha Datuk Abd Kadir; Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang, Bukhari Abd Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Ir Syed Sis Syed A Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Ramli Abdul Rahman.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, masyarakat khususnya, pemimpin tempatan perlu bersyukur dengan nikmat diberikan kerajaan hari ini.

"Pemimpin masyarakat bersuaralah di kawasan kita, ingatkan penduduk bahawa pilihan raya lima tahun sekali.

"Pilihlah kerajaan seperti mana kita mahukan yang pentingkan rakyat.

"Apa yang ada hari ini adalah kesan dari pemilihan bijak rakyat sendiri selain kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang saling berganding bahu membangunkan ekonomi rakyat," katanya.

198 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »