Sabtu, 24 Februari 2018 | 5:20pm
TENGKU Razaleigh pada perasmian Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Sains Gua Musang. - Foto Ramli Ibrahim

Selesai segera masalah Orang Asli - Ku Li

GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah tanah adat Orang Asli yang mereka dakwa diceroboh pembalak.

Beliau berkata, selagi masalah itu tidak diselesaikan, selama itulah mereka bertindak membina sekatan menghalang laluan lori balak.

Katanya, mereka bertindak demikian supaya kerajaan negeri tidak lagi membenarkan aktiviti pembalakan di kawasan penempatan kaum itu.

"Selaku pemimpin kawasan ini, saya bukan tidak mahu mengadakan perbincangan dengan kaum Orang Asli bagi menyelesaikan masalah itu.

"Sebaliknya, saya sudah beberapa kali berbincang dengan mereka, tetapi saya tiada kuasa kecuali campur tangan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sains (SMS) Gua Musang, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Orang Asli mengadakan tiga sekatan laluan balak di Pos Simpor, sejak seminggu lalu.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO bahagian mencadangkan kepada kaum itu agar menyerahkan memorandum berhubung perkara itu kepada kerajaan negeri.

"Atau mereka membawa perkara ini ke mahkamah seperti tindakan sama yang dibuat tahun lalu," katanya.

281 dibaca
Berita Harian X