Sabtu, 24 Februari 2018 | 3:43pm
DATUK Seri Ahmad Hamzah (empat dari kanan) beramah mesra dengan orang ramai pada pelancaran Kafe Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tedong di gerai makan Jalan Melaka Muar, Tedong dekat Serkam. - Foto Zairee Mohd Yasak

Gerai 50 sen tarik pengunjung

JASIN: Ketika ramai peniaga menaikkan harga makanan dengan alasan kenaikan kos barang mentah, seorang peniaga di gerai makan Jalan Melaka Muar, Tedong, di sini, bertindak sebaliknya apabila hanya mengenakan bayaran 50 sen bagi makanan dan minuman pagi untuk pelanggannya.

Dengan bayaran itu, setiap pelanggan berpeluang menikmati sarapan pagi seperti lontong, roti canai, mee goreng dan enam jenis kuih tempatan sehingga jam 11 pagi.

Pengusaha gerai, Abdul Rahman Abdul Hamid, 60, berkata tawaran itu dibuat bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai makanan di gerainya pada harga rendah, selain beramal.

"Lebih 400 pengunjung datang ke gerai ini dan ada antaranya tiba seawal jam 5 pagi untuk merasai aneka makanan di sini pada harga murah.

"Alhamdulillah, sambutan tidak diduga walaupun persiapan rapi dilakukan. Memang tak menang tangan apabila pengunjung tidak putus-putus datang membeli makanan dan bersarapan di sini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Kafe Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tedong, di sini, hari ini.

Sejumlah 10 kilogram kuih kundas habis dijual dalam tempoh empat jam dalam program yang turut dihadiri Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah itu.

Abdul Rahman berkata, tawaran pada harga 50 sen itu akan diteruskan pada setiap Sabtu minggu ketiga setiap bulan supaya lebih ramai pengunjung berpeluang merasai makanan di gerainya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Tedong, Ashri Komeng, berkata pihaknya berbesar hati untuk membantu jika terdapat pengusaha lain yang ingin menyertai program Kafe Rakyat berkenaan.

"Ia sekali gus dapat membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan, selain menikmati makanan pada harga terendah," katanya.

768 dibaca
Berita Harian X