Sabtu, 24 Februari 2018 | 3:35pm
HADIRIN majlis perasmian Ekspo Muafakat Kedah di Perkarangan Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid
PENGUNJUNG meluangkan masa di gerai pameran di Ekspo Muafakat Kedah. - Foto Sharul Hafiz Zam

Ekspo Muafakat Kedah tarik ramai pengunjung

ALOR SETAR: Ekspo Muafakat Kedah 2018 membuka tirai penuh meriah hari ini dengan menampilkan 20 kluster disertai 199 jabatan serta agensi Kerajaan Pusat dan negeri, selain sektor swasta.

Ekspo julung kali itu mengetengahkan pencapaian kerajaan negeri dan perancangan untuk seluruh rakyat Kedah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dijangka menarik kehadiran lebih 500,000 pengunjung, ekspo lapan hari itu adalah yang terbesar dan paling lama dianjurkan dalam sejarah negeri ini.


PENGUNJUNG mendaftar di kaunter Ekspo Muafakat Kedah, Pekarangan Stadium Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

Berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari hingga 3 Mac depan, program dirancang untuk memenuhi keperluan dan aspirasi segenap lapisan masyarakat.

Setiap kluster berkenaan mendekatkan semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama di Kedah untuk berada di bawah satu bumbung.

Ekspo itu menjadi medium terbaik untuk rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan, anak muda menterjemahkan aspirasi, dan masyarakat memberi pandangan mengenai pembangunan negeri.

Antara kluster terbabit ialah Pameran Diraja, Barakah Kedah, Suara Hati, Generasi Muda Pemimpin Negara, Kedah Harmoni, Eko Kedah, Kedah Islami, Bakat Kedah, Kedah Aman, Rangkaian Kedah, Kedah Berdaya Huni, Digital Kedah, Kedah Holistic, Kewangan, Agro Kedah, Kedah Bizz, Warisan dan Pelancongan, Pameran Perkhidmatan, Pameran Daerah serta 'Petting Zoo'.


PENGUNJUNG membeli buah-buahan di gerai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Ekspo Muafakat Kedah. - Foto Sharul Hafiz Zam

Ekspo Muafakat Kedah 2018 juga mencatat sejarah tersendiri apabila sebuah rumah ditawarkan sebagai hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung, di samping pelbagai hadiah menarik lain seperti kereta dan motosikal.

Selain itu, program dimeriahkan dengan pelbagai acara, termasuk temu duga kerja, peluang melanjutkan pelajaran, tawaran menarik hartanah, jualan murah barangan keperluan asas, pameran dan jualan produk usahawan tempatan pada harga istimewa.

Antara tarikan utama ialah jualan 6,000 unit hartanah di seluruh Kedah membabitkan agensi kerajaan dan pemaju swasta, yang ditawarkan pada harga diskaun menarik.


PENGUNJUNG membaca tulisan luahan hati rakyat Kedah yang dilekatkan di gerai pameran BARAKAH pada Ekspo Muafakat Kedah. - Foto Sharul Hafiz Zam

Pegawai dari Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan juga mengambil bahagian untuk memudah cara pengunjung yang mencari rumah idaman mereka.

Tidak ketinggalan ditampilkan usahawan pelbagai bidang seperti trak makanan dan juadah popular Kedah, sekali gus membuka ruang golongan tempatan itu mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka.

Ekspo juga akan dimeriahkan dengan kehadiran Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Sheikh Mustapha dan tokoh usahawan serta selebriti popular seperti Fattah Amin, Fizo Omar, Rozita Che Wan serta Janna Nick.

1391 dibaca
Berita Harian X