Sabtu, 24 Februari 2018 | 3:01pm
ANWAR Badang (enam dari kiri) bersama ahli keluarganya di hadapan rumah baharu yang dibina menerusi Projek Pembinaan Semula Rumah NBOS7, di Kampung Lot M, di Kinabatangan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Tak perlu lagi bersesak dalam pondok sempit

KINABATANGAN: Tinggal bersesak dalam rumah usang seakan pondok sempit dengan cuma ada sebuah bilik, selain berlubang dan atap bocor.

Itu kesukaran dialami Anwar Badang, 60, bersama empat anak, menantu dan 23 cucu yang selepas rumah mereka di Kampung Lot M, di sini, musnah dalam kebakaran pada Julai 2015.

Bagaimanapun, beban keluarga itu berakhir apabila terpilih mendapat rumah baharu menerusi Projek Pembinaan Rumah di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ketujuh (NBOS7): Kejiranan Indah di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Anwar berkata, beliau bersyukur mendapat bantuan rumah itu biarpun agak terkilan kerana arwah isterinya, Dahlia Tanang, 60, yang meninggal dunia Disember lalu akibat kencing manis selepas terlantar sejak dua tahun lalu, tidak sempat tinggal selesa di rumah baharu.

"Saya tak pernah memohon rumah dan terkejut apabila pihak bomba datang tahun lalu memberitahu kami terpilih mendapat bantuan rumah menerusi program ini.

"Saya bersyukur kerana bantuan ini membolehkan kami hidup selesa selepas lebih dua tahun bersesak dalam pondok kecil. Kami tak sabar untuk tinggal di rumah ini," katanya.

Beliau ditemui selepas penyerahan rumah itu disempurnakan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta dihadiri Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Nordin Pauzi dan Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan, Andree Andrew.

Kebakaran pada 7 Julai 2015 itu menyebabkan dua rumah terbakar, manakala empat beranak termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan empat tahun yang juga jiran Anwar rentung dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Nordin berkata, sebanyak 15 rumah sudah dibina di negeri ini sejak beberapa tahun lalu yang dilaksanakan secara gotong-royong oleh anggota bomba dengan kos sebuah rumah RM50,000.

"Tahun ini, JBPM Sabah diamanahkan membina dua lagi rumah dan membaiki 10 rumah, namun penerima bantuan belum dimuktamadkan," katanya.

Terdahulu, Bung Moktar yang juga Pengerusi FELCRA Berhad mencadangkan agar kerajaan mewajibkan setiap rumah memiliki alat pemadam api sebagai langkah awal pencegahan kebakaran.

184 dibaca
Berita Harian X