Sabtu, 24 Februari 2018 | 2:41pm
ABANG Johari (tengah) merakam kenangan bersama peserta Youth Fun Run 2018 di Kompleks Sukan Asajaya. - Foto Norsyazwani Nasri

Sarawak rintis variati baharu kelapa

SAMARAHAN: Pengenalan variati baharu kelapa, Tacuban, mampu meningkatkan produktiviti komoditi berkenaan, sekali gus menyumbang kepada pendapatan petani di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kerajaan negeri melalui agensi berkaitan sedang menjalankan kajian berhubung usaha pengembangan variati baharu kelapa itu, dengan mengambil contoh kejayaan penanamannya di Filipina.

"Di Filipina, variati baharu itu cukup popular dalam kalangan pengusaha kelapa di sana, dengan keupayaannya menjana pendapatan sehingga RM2 bilion, termasuk daripada pasaran eksport.

"Kita berpendapat variati ini sesuai dikembangkan di Asajaya dan kawasan sekitarnya, yang majoriti penduduknya terdiri daripada petani," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Youth Fun Run 2018 anjuran Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak di Kompleks Sukan Asajaya, di sini, pagi tadi.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak, berkata untuk memberi impak kepada sektor pertanian di negeri ini, beliau sedang meneliti usaha pembangunan Stesen Penyelidikan Pertanian (ARS) di kawasan itu.

"Ini antara perkara yang dapat saya lihat sepanjang perjalanan dari Samarahan ke Asajaya. Jika tidak dibangunkan ARS sebaik mungkin, ia merugikan penduduk di dua daerah ini yang cukup terkenal sebagai pengeluar hasil pertanian," katanya.

Mengenai program yang diadakan itu, Abang Johari berharap dapat melahirkan generasi muda yang cerdas dan sihat.

"Ini selari dengan usaha untuk membantu kerajaan dalam membangunkan Sarawak menjadi negeri digital," katanya.

161 dibaca
Berita Harian X