Rabu, 14 Februari 2018 | 5:47pm
SEKOLAH Kebangsaan Padang Besar Utara yang mengalami masalah pencemaran debu berikutan terdapat sebuah syarikat yang menguruskan kontena di kawasan perindustrian bersebelahan sekolah terbabit. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Lori kontena punca debu, pelajar rimas

PADANG BESAR: Seramai 303 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Besar Utara, di sini, diancam pencemaran debu berikutan pergerakan keluar-masuk lori kontena di kawasan itu.

Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Zaidi Tajudin, berkata warga sekolah berkenaan sudah menghadapi masalah itu sejak lebih 10 tahun berpunca daripada operasi sebuah syarikat kontena yang terletak bersebelahan.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, angin yang kuat akan membawa debu masuk ke kawasan sekolah, selain jalan berdebu berikutan pergerakan lori kontena berkenaan.

"Ada ibu bapa membeli tikar getah untuk menutup tingkap bagi mengelakkan debu masuk ke dalam kelas kerana bimbang tahap kesihatan anak mereka," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Zaidi berkata, PIBG sekolah itu sudah beberapa kali membawa isu berkenaan untuk perhatian pihak berkaitan sejak lebih 10 tahun lalu.

"Sudah banyak kali pihak berwajib melawat sekitar sekolah untuk melihat sendiri keadaan kelas yang kotor akibat pencemaran debu, namun bagai tiada apa yang berlaku selepas itu.

"Malah, pihak sekolah pernah dijanjikan untuk dipindahkan ke penempatan baharu tiga atau empat tahun lalu, namun kita masih menunggu pengumuman rasmi daripada pihak berkenaan," katanya.

Beliau mendakwa, ada guru di sekolah itu pernah dimasukkan ke hospital berikutan pencemaran debu di kawasan itu khususnya ketika mengajar.

"Jika guru yang mengajar pun boleh mengalami masalah kesihatan kerana pencemaran debu ini, bagaimana pula nasib anak kami," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Khaw Hock Kong, berkata pihaknya maklum mengenai masalah itu dan kerajaan negeri sudah meluluskan sebidang tanah untuk memindahkan sekolah berkenaan.

"Kerajaan negeri sudah meluluskan kawasan penempatan baharu untuk dibina SK Padang Besar Utara. Bagaimanapun, timbul masalah baharu apabila ada pihak membina gudang atas tanah terbabit tanpa pengetahuan kerajaan negeri, sejak enam tahun lalu.

"Selepas perbincangan antara pemilik gudang bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), mereka meminta kerajaan negeri membayar pampasan kepada mereka sedangkan tanah itu milik kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi.

Katanya, kerajaan negeri akan menghantar satu notis amaran supaya mereka segera berpindah dan jika ingkar, tindakan undang-undang lebih tegas akan diambil.

228 dibaca
Berita Harian X