Selasa, 16 Januari 2018 | 2:25pm
TENGKU Adnan melihat rumah contoh Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) pada majlis penyempurnaan perjanjian antara Malaysian Building Society Berhad (MBSB) dan Hektar Aneka Sdn Bhd serta pembukaan pendaftaran RUMAWIP di Pejabat Jualan Residensi Hektar, Setapak. - Foto BERNAMA

RUMAWIP Residensi Hektar khas untuk pembeli Melayu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,400 unit pangsapuri Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Hektar, Jalan Gombak, di sini akan ditawarkan khas kepada pembeli Melayu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata projek perumahan berkonsepkan seni bina Islam itu dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

Katanya, setiap unit kediaman yang berkeluasan 800 kaki persegi dan 850 kaki persegi, masing-masing dijual pada harga RM266,000 hingga RM299,000 yang berpatutan jika dinilai dari aspek lokasi dan keluasan.

Beliau berkata, inisiatif berkonsepkan usahasama awam swasta menerusi RUMAWIP pada 2013 bagi menyediakan rumah mampu milik pada harga di bawah RM300,000 memanfaatkan golongan berpendapatan sederhana.

"Setiap binaan dan kemudahan pangsapuri ini mengambil kira keperluan setiap peringkat usia bermula muda, dewasa dan warga emas.

 

"Kita harap pihak MBSB (Malaysia Building Society Berhad) menawarkan pinjaman lebih menarik kepada pembeli projek RUMAWIP bagi membolehkan lebih banyak kediaman dibina dengan harga berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis memeterai perjanjian antara MBSB dan Hektar Aneka Sdn Bhd serta pembukaan pendaftaran RUMAWIP bagi Residensi Hektar Jalan  Gombak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata Kementerian Wilayah Persekutuan sudah membina 40 RUMAWIP sejak projek itu dilaksanakan pada 2013.

Katanya, perancangan dan kesungguhan kementeriannya melaksanakan projek itu membolehkan sasaran awal pembinaan 80,000 unit menjelang 2020 boleh diatasi.

"Jika sebelum ini kita lihat kebanyakan projek perumahan di ibu negara dijual melebihi RM300,000, kini tren itu mula berubah kepada di bawah RM300,000 menerusi RUMAWIP," katanya.

2791 dibaca
Berita Harian X