Sabtu, 13 Januari 2018 | 10:47pm
KETUA Menteri Sarawak, Datuk Petinggi Abang Johari Abang Openg memotong kek ulangtahun pertama sebagai pemimpin negeri ini di Majlis Makan Malam Amal Jatti Meirek di Miri, malam tadi.

Sarawak taja dana kajian Jatti Meirek

MIRI: Sarawak menawarkan tajaan dana terhadap pelajar institusi pengajian tinggi di negeri ini yang berminat mengkaji keunikan kaum Jatti Meirek sehingga ke peringkat doktor falsafah.

Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, tajaan itu akan dibiayai menerusi dana yang diperuntukkan Yayasan Sarawak. 

Beliau yang juga pengerusi yayasan itu berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kajian mendalam dapat dilakukan terhadap corak hidup, sosial, budaya dan keunikan etnik Jatti Meirek.

"Kita mahu memastikan khazanah etnik kaum Jatti Meirek di Sarawak kekal dipelihara. Justeru kajian mengenainya perlu dilakukan untuk mengelak kepupusan budaya etnik itu," katanya di Majlis Makan Amal Jatti Meirek 2018 di sini, sebentar tadi.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Jatti Meirek Miri, Datuk Abdullah Abdul Rahim dan isterinya Datin Patinggi Hajah Jumaani Bujang.

Abang Johari berkata, kajian mengenai etnik itu akan mengambil masa yang lama iaitu sehingga empat tahun kerana banyak aspek kehidupan etnik itu yang perlu diambil kira.

Pada majlis yang sama beliau turut mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada persatuan itu untuk menerbitkan semula buku terjemahan bahasa Jatti Meirek kepada Bahasa Malaysia.

Sebelum ini, sejumlah 500 unit buku itu sudah diterbitkan untuk diedarkan percuma kepada pelbagai pihak di Sarawak.

285 dibaca
Berita Harian X