Sabtu, 13 Januari 2018 | 9:49pm
KETUA Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud sedang melihat kayu jaras bakau di jeti pendaratan kayu bakau dia Telok Panglima Garang, semalam.
KETUA Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud sedang melihat kayu jaras bakau di jeti pendaratan kayu bakau dia Telok Panglima Garang, semalam.

Syarikat disyaki guna dokumen palsu bawa kayu bakau

SHAH ALAM: Sebuah syarikat pengimport kayu bakau di Banting disyaki menggunakan dokumen palsu selain mendakwa mendapat permit dari Indonesia bagi membawa masuk kayu bakau dari negara jiran.

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, ini susulan penemuan lebih 20,000 kayu bakau ketika mengadakan lawatan kerja luar semalam.

Katanya, syarikat berkenaan didapati menyimpan kayu bakau melebihi 20,000 batang kayu yang diisytiharkan.

"Dalam satu Lawatan Kerja Luar Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Operasi Hutan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud petang semalam, kami telah melakukan pemeriksaan terhadap sebuah jeti pendaratan kayu bakau.

"Ketika lawatan, kami menemui kayu bakau melebihi 20,000 batang di situ. Kayu itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran," katanya.

Turut serta dalam tinjauan ini ialah Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Dr Mohd Puat Dahalan.

Yussainy berkata, syarikat itu juga mendakwa mempunyai tiga kebenaran import kayu bakau berjumlah 60,000 batang pada tahun 2017, yang dokumennya dikemukakan kepada agensi berkaitan termasuk kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Beliau berkata, anggaran nilai semasa bagi setiap satu kayu bakau itu adalah RM10.

Justeru, katanya, arahan sudah dikeluarkan supaya satu lawatan kerja luar ke Indonesia diadakan bagi mempelajari dan mengenalpasti morfologi kayu jaras bakau dari Indonesia yang diimport oleh Malaysia serta proses pengeluaran kayu jaras bakau dari Indonesia ke Malaysia, termasuk proses eksport kayu jenis itu.

Yussainy berkata, sementara siasatan dijalankan, pemantauan berterusan akan dijalankan oleh Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan jika didapati syarikat itu menggunakan dokumen palsu, tindakan mengikut peruntukan undang-undang akan segera diambil.

778 dibaca
Berita Harian X