Sabtu, 13 Januari 2018 | 8:30pm
PRESIDEN PBB, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg bersalaman dengan Ketua Wanita PBB, Puan Sri Empiang Jabu pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan PBB Bahagian Mukah, petang tadi. - Foto Jannah Kho

Sarawak model 'politik matang' - Abang Jo

MUKAH: Dasar 'politik matang' menjadi teras keutuhan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sehingga mampu menjadikannya antara parti politik yang dominan di negara ini.

Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, berkata kelebihan itu turut menjadikannya satu institusi politik yang stabil, sekali gus menyumbang kepada kekuatan Barisan Nasional (BN), khususnya di Sarawak.

"Inilah pegangan kita dalam PBB... bermula dari era Tun Abdul Taib Mahmud (kini Yang DiPertua Negeri Sarawak) kepada Allahyarham Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem), seterusnya kepada giliran saya.

"Semua proses itu (peralihan kuasa) berlaku dengan lancar kerana kita sentiasa percaya dan berpegang pada prinsip kematangan dalam berpolitik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan PBB Bahagian Mukah, di sini petang tadi.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Naib Presiden Kanan PBB dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Pemuda PBB.

Abang Johari berkata, kelancaran proses peralihan kuasa itu, sama ada sebagai membabitkan kepemimpinan kerajaan negeri dan parti berkenaan, jelas memperlihatkan semangat harmoni politik Sarawak.

"Ia satu tradisi dan contoh terbaik ditinggalkan legasi kepemimpinan terdahulu. Malah, kestabilan itu juga mempengaruhi kepercayaan rakyat terhadap pemimpin yang mewakili mereka, sama ada dalam parti mahupun kerajaan.

"Bukti paling jelas apabila kita (PBB) menyapu bersih semua kerusi ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) yang lalu. Malah, dalam PRN11 juga, rakan komponen kita berjaya merampas swmila beberapa kerusi dikuasai DAP," katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi BN Sarawak, berkata momentum itu harus dikekalkan, khususnya dalam kalangan jentera akar umbi PBB dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

481 dibaca
Berita Harian X