Rabu, 3 Januari 2018 | 4:43pm
PENIAGA goreng pisang dan kuih Sulaini Abdullah, 54, (kiri) dibantu anak saudaranya Siti Nur Maisarah Razak, 16, tetap meneruskan perniagaan meskipun banjir yang melanda di Taman Sungai Isap Damai. - Foto BERNAMA

Banjir Terengganu: Jumlah mangsa tidak banyak berubah

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Kemaman dan Dungun berkurangan sedikit setakat jam 4 petang tadi dengan sebuah pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Minda Talong, Dungun, sudah ditutup.

Setakat tempoh sama, seramai 326 mangsa daripada 108 keluarga masih berada di enam pusat pemindahan, manakala pusat pemindahan yang sudah ditutup sebelum ini menempatkan empat mangsa dari satu keluarga.

Di Dungun, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan, mangsa teramai iaitu 175 orang daripada 61 keluarga masih ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor.

Dewan Orang Ramai Pasir Raja juga masih menempatkan 77 mangsa daripada 31 keluarga.

Di Kemaman, jumlah mangsa di Dewan Orang Ramai Teladas berkurangan tiga orang, menjadikan jumlah terkini yang masih ditempatkan di pusat berkenaan 21 mangsa daripada tiga keluarga.

Surau Haji Othman di Kampung Seberang Tayor Hulu pula kekal dengan 18 mangsa daripada lima keluarga; Surau Kampung Ban Ho (23 mangsa daripada 4 keluarga) dan Kampung Pasir Gajah (12 mangsa daripada 4 keluarga).

Lima laluan di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu yang ditutup pada semua kenderaan pagi ini selepas dinaiki air lebih dua meter, masih belum dibuka sehingga jam 4 petang tadi.

Laman publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan, empat stesen mencatatkan paras sungai melepas paras amaran.

Ia membabitkan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih pada paras 13.51 meter (m) melebihi 13.25m; Sungai Dungun di Kuala Jengai (20.49m/20m); Sungai Dungun di Pasir Raja 36.98m/36.50 dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak (17.94m/17.80m).

225 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »