Jumaat, 13 Oktober 2017 | 6:19pm
MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada penerima sewa beli rumah Jauhar Prihatin ketika majlis pelancaran Skim Sewa Beli Hartanah Kerajaan Negeri Johor di Pentas Utama, Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Kerjasama jimat elektrik

ISKANDAR PUTERI: Pelan Program Tenaga membabitkan tenaga boleh diperbaharu dan kecekapan tenaga memberi pilihan baharu bagi penjimatan tenaga elektrik yang boleh dipraktikkan di Johor.

Pendekatan bagi mengoptimumkan jumlah tenaga secara cekap itu diperkukuhkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara TNB Energy Services (TNBES) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) di sini, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pelan yang dilaksanakan menerusi Kontrak Prestasi Tenaga itu menjadi satu perkara yang perlu diberikan perhatian dalam soal kelestarian alam sekitar dan sumbernya terutama aspek sumber tenaga dan penggunaannya yang mapan dan cekap.

"Malah, atas kesedaran ini jugalah kita melancarkan Pelan Kelestarian Johor yang menjadi rujukan utama kerajaan negeri dalam menguruskan alam sekitar.

"Bagaimanapun semua itu pastinya tidak memadai. Kita mesti terus menerus berusaha mencari alternatif dan kaedah terbaik untuk memastikan penggunaan sumber tenaga di Johor bersih, lestari dan optimum.

"Inisiatif ini sebagai satu langkah awal ke arah memastikan wujudnya sumber dan kecekapan pengurusan tenaga di Johor terutama dalam menggalak dan mempromosikan Tenaga Boleh Diperbaharui dan Tenaga Angin," katanya.

Beliau berkata demikian berucap menyaksikan pemeteraian MoU di antara syarikat berkenaan bersempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang diadakan di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Abdul Razak Mohd Yusoff dan Pengarah Urusan TNBES, Dr Ahmad Jaafar.

Mohamed Khaled berkata, perjanjian itu membolehkan TNBES dan KPRJ membentuk sebuah syarikat tujuan khas akan diberi tanggungjawab untuk menjalankan beberapa pendekatan penting.

"Antara pendekatannya termasuk membangunkan pelan induk komprehensif berhubung tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga serta mengenal pasti peluang perniagaan yang berkaitan dengan sektor ini.

"Ini akan menjadi titik tolak yang penting kepada usaha kita semua dalam mengekalkan kelestarian Johor," katanya.

87 dibaca
Berita Harian X