Jumaat, 13 Oktober 2017 | 3:55pm
Abdul Razak Muda. - Foto Sharul Hafiz Zam

Elak berkunjung ke air terjun musim hujan

ALOR SETAR: Keadaan air terjun atau sungai yang jernih dan cetek tidak boleh dijadikan ukuran untuk orang ramai berasa selamat melakukan aktiviti rekreasi berikutan 'kepala air' boleh terjadi sekiranya hujan berlaku di hulu sungai dan puncak bukit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Abdul Razak Muda, berkata kejadian terperangkap dalam kepala air dapat dielakkan sekiranya orang ramai mengambil iktibar daripada kes terbabit yang banyak dilaporkan sebelum ini.

"Jangan jadi mangsa, elak berkunjung ke pusat rekreasi ini pada musim hujan, walaupun hujan tidak turun beberapa hari di tempat kita namun ia mungkin berlaku di hulu sungai dan puncak bukit.

"Bagi ibu-bapa serta orang dewasa yang masih mahu membawa anak-anak ke kawasan air terjun, mereka perlu peka dengan persekitaran dan perubahan cuaca, sekiranya nampak awan mendung dan terdengar guruh atau serta paras air mula meningkat, lebih baik tinggalkan lokasi terbabit dengan segera," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian enam kanak-kanak hanyut di kawasan rekreasi air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dua mangsa berjaya diselamatkan, tiga ditemui mati lemas manakala seorang lagi masih belum dijumpai.

Abdul Razak berkata, sehingga kini seramai 15 mangsa diselamatkan JBPM akibat terperangkap dalam kepala air.

Katanya, 14 mangsa diselamatkan pada 3 September lalu iaitu lapan di pusat rekreasi Tupah, Merbok manakala enam lagi di air terjun Kampung Batu Hampar, Yan; manakala pada 9 September lalu, seorang mangsa berjaya diselamatkan di air terjun Temurun, Langkawi.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara petanda lain akan terjadinya kepala air ialah berlaku pergerakan batu, kehadiran air berbuih dan banyak ranting kayu serta sampah dihanyutkan.

"Jika ternampak petanda itu berlaku pengunjung mesti terus beredar kerana kepala air ini boleh turun dalam tempoh yang singkat seperti tsunami.

"Jangan cuba menyeberangi sungai jika berlaku kepala air, tunggu sehingga pasukan penyelamat tiba, tindakan menyeberang kepala air tanpa alatan menyelamat akan mengundang kecelakaan kerana arusnya sangat deras sehingga mampu menghanyutkan balak.

"Kecelakaan akibat kepala air bukan sahaja membabitkan lemas, tetapi boleh menyebabkan kecederaan serius sekiranya berlaku rempuhan sampah atau balak yang dibawa arus, yang mungkin juga boleh membawa maut, " katanya.

464 dibaca
Berita Harian X