Jumaat, 13 Oktober 2017 | 11:06am
AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim melihat pagar elektrik yang dipasang di Kampung Seri Ketengga, Mukim Siong, semalam. - Foto Safuri Kamarudin

Pagar elektrik halang gajah

BALING: Ancaman gajah liar yang memusnahkan tanaman penduduk di Mukim Siong, dekat sini, sejak awal tahun ini, mendapat perhatian Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengambil inisiatif memasang pagar elektrik bagi menghalang haiwan itu memasuki kampung.

Pagar elektrik yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sepanjang 3.5 kilometer itu mampu menghalang haiwan terbabit menghampiri penempatan penduduk.

Sebelum ini, antara kampung yang menjadi sasaran gajah liar ialah di Kampung Seri Ketengga, Batu Lapan, Tanjung Pari dan Rambong Batu Tujuh.

Pengarah PERHILITAN Kedah, Muhammad Ali Che Aman, berkata gajah itu menggunakan laluan di Hutan Ulu Muda dan Gunung Inas bagi mencari makanan sebelum menceroboh kawasan penduduk.

Beliau berkata, gajah liar itu bergerak dalam kumpulan sehingga enam ekor di sekitar hutan terbabit sebelum memasuki kira-kira 100 meter dari kawasan penempatan penduduk, sekaligus merosakkan tanaman yang menjadi sumber kehidupan penduduk.

"Pokok pisang, kelapa, dokong dan sayuran turut musnah di mamah gajah. Bukan itu sahaja, penduduk juga tidak berani keluar menoreh.

"Kita mengambil langkah memasang pagar elektrik bagi menghalang haiwan itu masuk sehingga ke penempatan penduduk kerana untuk memindahkan gajah ke habitat asal menelan kos yang tinggi," katanya, di sini semalam.

Beliau ditemui pada Majlis Memasang Pagar Elektrik Menghalau Gajah di Kampung Seri Ketengga, Mukim Siong.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, langkah pemasangan pagar itu nampak lebih berkesan kerana haiwan berkenaan tidak akan berani menghampiri kawasan penduduk apabila terkena renjatan.

"Saya tidak mahu haiwan ini dibunuh jadi bila kita memasang pagar elektrik haiwan itu, ia tidak berani menghampiri kawasan penempatan penduduk dan berpindah ke hutan lain," katanya.

Abdul Azeez berkata, untuk menangkap dan memindahkan seekor gajah liar ke habitat asal menelan kos sehingga RM60,000 dan pemasangan pagar lebih jimat.

178 dibaca
Berita Harian X