Khamis, 12 Oktober 2017 | 8:36pm
PELAJAR Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Qistina Razdwan (dari kiri),Nur Ilia Suraya Ismail, Nur Alyaa Mohd, dan Nora Norfazliana Azira Mohd Sabri menunjukkan kad Saya Sudah Berikrar selepas menandatangani ikrar derma organ pada program Kesedaran Derma Organ anjuran Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine (UniKL RCMP) di UniKL Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

200 ikrar derma organ di UniKL RCMP

IPOH: Seramai 200 individu berikrar menjadi penderma organ sempena Hari Kesedaran Menderma Organ anjuran Program Kejururawatan Fakulti Perubatan, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP), hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 163 pengikrar terdiri daripada kakitangan dan pelajar UniKL RCMP, manakala 37 lagi adalah pelajar Kolej Mara Kuala Nerang di Kedah, yang mengadakan lawatan ke kampus universiti berkenaan.

Dekan Perunding Obstetrik dan Ginekologi (Perbidanan dan Sakit Puan), Fakulti Perubatan UniKL RCMP, Prof Madya Dr Syed Rahim Syed Hamid, berkata program itu bertujuan mewujudkan kesedaran bukan sahaja di kalangan pelajar tetapi juga orang ramai mengenai kepentingan menderma organ untuk menyelamatkan nyawa manusia lain.

"Ini adalah pertama kali program kesedaran menderma organ dibuat secara besar-besaran di universiti ini yang dikelolakan oleh pelajar semester enam program kejururawatan, berbanding dibuat dalam skala kecil sebelum ini.


PELAJAR UniKL menunjukkan kad Saya Sudah Berikrar selepas menandatangani ikrar derma organ pada program Kesedaran Derma Organ anjuran Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine (UniKL RCMP) di UniKL Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

"Program diadakan bersempena dengan Minggu Kesedaran Menderma Organ bermula Sabtu lalu hingga lusa, diharap mampu menarik lebih ramai penderma organ dalam masyarakat," katanya pada sidang media sempena program berkenaan di UniKL RCMP.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Jabatan Program Kejururawatan UniKL RCMP, Chen Hoi Yen; Ketua Jururawat Unit Menderma Organ Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Sarimah Pawan dan Pengurus program berkenaan, Imza Harfiani Amri.

Antara pengisian program bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu ialah ceramah mengenai kepentingan menderma organ serta kriteria kematian otak, ceramah pengalaman penderma dan penerima organ serta isu berkenaan mengikut pandangan agama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.

Dr Syed Rahim berkata, sehingga kini bilangan pengikrar yang mahu menderma organ di negara ini adalah sedikit berbanding bilangan pesakit yang menunggu untuk menerima organ.

Beliau berkata, keadaan itu mungkin disebabkan ada beberapa kekangan seperti salah faham daripada sudut agama mengenai perkara berkenaan mengakibatkan ramai tidak mahu menderma organ walaupun apabila sudah meninggal dunia.

150 dibaca
Berita Harian X