Khamis, 12 Oktober 2017 | 7:43pm
DATUK Aidi Ismail (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Superintendan Mohd Azhar Mohd Yusof (kiri) dengan pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, DSP Mohd Rawi Abdul Ghani (kanan) pada majlis Serah Terima Tugas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil KJSJK Terengganu di Dewan Redang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu.- Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Siasatan penipuan umrah YBNT selesai

KUALA TERENGGANU: Polis Kontinjen Terengganu sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes penipuan umrah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) yang membabitkan seramai 378 mangsa.

Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail, berkata kertas siasatan berkenaan sudah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara Putrajaya untuk mendapatkan nasihat dan pertuduhan pada akhir September lalu.

  

"Seramai 40 daripada 378 mangsa akan dipanggil sebagai saksi bagi kes ini," katanya pada Majlis Serah Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu, Superintendan Mohd Azhar Mohd Yusof yang akan bertukar ke JSJK Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Pengurusan Kepolisan jabatan berkenaan.

   

Tempat beliau dipangku timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Rawi Abd Ghani.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri mengesahkan siasatan mereka mendapati YBNT mempromosikan pakej yang ditawarkan secara atas talian menerusi Facebook dengan bayaran rendah daripada pasaran iaitu RM4,999.

Kementerian itu mengenal pasti bahawa dalam tempoh Jun hingga Oktober tahun lalu, YBNT mencatatkan kemasukan wang berjumlah RM14.2 juta.

Penipuan pakej umrah itu dikatakan menjejaskan seramai 4,800 jemaah terdiri daripada guru dan keluarga mereka selepas membayar sebanyak RM3,000 seorang.

Pengarah dan akauntan YBNT antara yang ditahan polis sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pakej umrah itu.

   

Dalam perkembangan lain, Aidi menasihatkan orang ramai berwaspada dengan sindiket penyamaran dikenali Macau Scam yang aktif memperdaya mangsa menerusi panggilan telefon.

Katanya, kumpulan terbabit akan melakukan penyamaran dengan mendakwa kononnya panggilan dibuat daripada institusi kewangan dan cuba mendapatkan identiti serta nombor akaun kononnya untuk tujuan kemas kini.

702 dibaca
Berita Harian X