Khamis, 12 Oktober 2017 | 3:56pm
DATUK Shahanim Mohamad Yusoff (kiri) menyerahkan mesin basuh dan kipas angin kepada Mohamad Nazri dan isteri dirumahnya di Kampung Kilang Makau, Pinang Tunggal. - Foto Omar Osman

Lima sekeluarga lega kediaman usang dibaik pulih

SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri yang tinggal di rumah buruk dan terbengkalai bersama empat anak mereka lebih tiga tahun lalu, kini menarik nafas lega apabila kediaman usang itu dibaik pulih.

Semuanya hasil bantuan baik pulih rumah diluluskan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang disalurkan melalui Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK).

Mohamad Nazri Shuib dan isteri Nor Azah Rashid, masing-masing berusia 30 tahun dan empat anak mereka berusia antara 10 bulan hingga lapan tahun, sebelum ini terpaksa tinggal di rumah usang di Kampung Kilang Makau di Jalan Pinang Tunggal, di sini kerana tidak mampu menyiapkannya akibat masalah kewangan.

Mohamad Nazri ketika ditemui mengakui pelbagai kesukaran terpaksa dilalui sepanjang tiga tahun menetap di rumah usang itu, terutama apabila ia sering dimasuki air ketika hujan, malah terpaksa menebal muka menumpang di rumah bapa sekiranya keadaan bertambah teruk.

"Saya dan isteri tiada pilihan kerana tidak mempunyai sumber kewangan untuk menyiapkan rumah ini. Dengan pendapatan RM1,000 sebulan hasil kerja di bengkel besi, ia sekadar cukup untuk menyara isteri dan anak-anak serta membeli sedikit keperluan harian.

"Apa pun saya bersyukur kerana dipilih menerima bantuan membaiki rumah yang disalurkan melalui JKKK kampung ini. Selepas dibaik pulih, keadaan rumah saya kini lebih baik dan selesa serta tidak lagi dimasuki air apabila hujan," katanya.

Mohamad Nazri berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff, di rumahnya itu.

Yang turut hadir Penghulu Mukim Pinang Tunggal, Mohd Yussof Mohd Sharif.

Shahanim berkata, masalah keluarga itu mendapat perhatian KKLW yang kemudian menyalurkan bantuan RM10,000 bagi membaik pulih rumah mereka yang dilakukan secara gotong-royong membabitkan penduduk kampung.

"Alhamdulillah gotong-royong baik pulih rumah Mohamad Nazri hanya mengambil masa seminggu untuk siap. Bagi meringankan sedikit beban keluarga itu, saya juga menyumbang barangan elektrik seperti mesin basuh dan kipas untuk kegunaan keluarga itu," katanya.

133 dibaca
Berita Harian X