Rabu, 13 September 2017 | 5:40pm
Foto hiasan

Tiada kesan harimau di Bukit Pelindung - PERHILITAN

KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang memaklumkan pihaknya tidak menerima aduan mengenai kehadiran harimau di kawasan rekreasi Bukit Pelindung, dekat sini, seperti disebarkan di media sosial.

Pengarahnya, Ahmad Azhar Mohamed, berkata setakat ini pihaknya juga tidak mengesan sebarang tanda atau kesan kehadiran haiwan buas itu di kawasan berkenaan selepas melakukan pemeriksaan.

"Ada kemungkinan ia bukan harimau, mungkin kucing hutan atau kucing batu memandangkan corak pada badannya hampir sama.

"Kita sudah buat pemeriksaan selepas perkara itu tersebar di media sosial...buat masa ini, tidak ada kesan tapak harimau ditemui di kawasan berkenaan.

"PERHILITAN juga akan menghantar pegawai kami ke Bukit Pelindung bagi melakukan pemantauan lebih teliti dari semasa ke semasa untuk memastikan keselamatan orang ramai yang berkunjung ke situ," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Penampakan kelibat seperti harimau di kawasan rekreasi itu disebarkan di laman Facebook (FB) sejak semalam dan ada yang mendakwa haiwan pemangsa berkenaan dilihat di kawasan laluan berbasikal menghala ke Teluk Cempedak.

Ahmad Azhar berkata, kawasan itu sudah dipantau pihaknya sejak awal tahun ini selepas aduan kemunculan beruang matahari berkeliaran di kawasan hotel berhampiran.

Katanya, PERHILITAN meminta orang ramai menghubungi pihaknya segera jika ternampak haiwan liar yang berbahaya supaya tindakan awal dapat diambil bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

715 dibaca
Berita Harian X